Amir Mamat


Jasin: Polis Melaka menumpaskan sindiket pecah amanah jenayah membabitkan pekerja syarikat pemasangan perancah besi dengan nilai kerugian RM1.4 juta.

Kejayaan itu susulan penahanan 18 individu daripada dua syarikat pembekal dan pemasangan bahan berkenaan yang beribu pejabat di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd Ali, berkata dalam operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka sejak 17 Mei lalu, mereka menahan 15 lelaki dan tiga wanita berusia antara 19 hingga 61 tahun yang bekerja di dua syarikat kontraktor berkenaan.

Katanya, polis turut menerima laporan daripada sebuah syarikat kontraktor yang mengesyaki berlaku penyelewengan selepas kerja pengauditan dilakukan oleh pihak pengurusan syarikat berkenaan.

"Syarikat itu memperoleh dua kontrak membekal dan memasang perancah besi di tapak projek di kawasan Sungai Udang, di sini dua tahun lalu dan siasatan awal mendapati, selepas projek berkenaan selesai, syarikat berkenaan mengambil semula semua perancah besi yang dipasang di tapak projek terbabit untuk dibawa pulang.

"Bagaimanapun, selepas proses audit dalaman dilakukan, pihaknya mendapati sebanyak 335 tan peralatan perancah besi bernilai RM1.4 juta hilang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, di sini hari ini.

DATUK Abdul Majid Mohd Ali (tiga kiri) menunjukkan perancah besi (scaffolding) yang dijumpai oleh pasukan polis pada sidang media di sini, hari ini. FOTO SYAFEEQ AHMAD
DATUK Abdul Majid Mohd Ali (tiga kiri) menunjukkan perancah besi (scaffolding) yang dijumpai oleh pasukan polis pada sidang media di sini, hari ini. FOTO SYAFEEQ AHMAD

Abdul Majid berkata, susulan kejadian itu pihaknya menubuhkan dua pasukan khas untuk menjejaki sindiket yang terbabit dalam kehilangan perancah besi itu.

Katanya, hasil siasatan dan risikan, pihaknya mengenal pasti dua lokasi di Pahang dan Terengganu yang menjadi tempat simpanan perancah besi terbabit.

"Dua serbuan dilakukan di stor simpanan di Gebeng, Pahang dan Paka, Terengganu semalam dan menemui sejumlah 50,818 unit perancah besi atau 250 tan dianggarkan bernilai lebih RM900,000.

"Lima treler yang membawa semua perancah besi yang dirampas sudah berada di sini manakala tujuh lagi (treler) masih dalam perjalanan ke sini dan kita masih mengesan saki baki besi yang masih hilang," katanya.

Abdul Majid juga memaklumkan, dalam serbuan itu, pihaknya menahan 18 pekerja daripada dua syarikat kontraktor dipercayai terbabit dalam kegiatan penyelewengan itu.

"Kita sudah mengenal pasti dalang utama sindiket itu dan sedang menjejaki suspek," jelasnya.

"Semua suspek yang ditahan, direman sehari sehingga esok untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 6:25 PM