Nuraliawati Sabri

Melaka: Polis negeri ini berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah rentas sempadan apabila merampas dadah bernilai RM7.2 juta, awal pagi kelmarin.

Dalang sindiket warga tempatan itu ditahan kira-kira jam 12.15 tengah malam di kawasan tepi Pantai Klebang.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, sindiket itu ditahan dalam serbuan dilakukan sepasukan polis dari Balai Polis Tanjung Kling ketika kumpulan sindiket ini dipercayai sedang menunggu urusan untuk membawa keluar dadah melalui jalan air.

Beliau berkata, enam lelaki termasuk seorang wanita warga Vietnam berusia antara 25 hingga 52 tahun turut ditahan.

"Hasil pemeriksaan ke atas dua kenderaan di kawasan itu polis menemui bekalan dadah di dalam kereta Toyota Harrier kira-kira 83 kilogram disyaki syabu dan lebih 59 kilogram disyaki ekstasi yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM7.2 juta.

"Dadah ini dipercayai untuk dibawa keluar serta dipasarkan ke negara jiran dan Melaka hanya dijadikan lokasi persinggahan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan hadir sama Timbalan Ketua Polis Melaka Senior Asisten Komisioner Razali Abu Samah, hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mendapati sindiket didalangi penjenayah tegar itu mula aktif sejak tiga bulan lalu.

DATUK Abdul Majid Mohd Ali ketika sidang media kes bersangkut 39B di Ibu Pejabat Kontinjen, Melaka . FOTO Syafeeq Ahmad
DATUK Abdul Majid Mohd Ali ketika sidang media kes bersangkut 39B di Ibu Pejabat Kontinjen, Melaka . FOTO Syafeeq Ahmad

"Bagaimanapun siasatan dari mana bekalan diperoleh dan ke mana destinasi dadah itu mahu dihantar masih dalam siasatan.

"Ini kali pertama sindiket didalangi warga tempatan tidak membabitkan ahli dari negeri lain seperti sebelumnya," katanya.

Abdul Majid berkata, siasatan turut mendapati sindiket turut menggunakan borang rentas daerah dan negeri palsu dengan alasan berniaga dalam sektor perladangan dan komuniti.

"Bekalan dadah dirampas ini dikatakan mampu menampung penggunaan seramai 368,000 penagih dan ia rampasan terbesar untuk tahun ini.

"Semakan juga mendapati kesemua mereka mempunyai sekurang-kurangnya lima rekod lampau membabitkan dadah dan jenayah selain ujian saringan air kencing juga mendapati mereka positif dadah," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, selain dadah turut dirampas sejumlah wang tunai, barang kemas, dua kenderaan serta jam tangan.

"Kesemua mereka kini direman tujuh hari sehingga 7 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 2:24 PM