Nuraliawati Sabri

Melaka: Padah terpedaya dengan nukilan ayat cinta 'kekasih songsang' menyebabkan seorang ahli perniagaan ditipu sindiket 'Love Scam' dan kerugian hampir RM118,000.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, lelaki berusia 42 tahun itu pada awalnya berkenalan dengan seorang lelaki melalui Facebook sebelum berhubung menggunakan aplikasi dan dijanjikan beberapa hadiah.

Beliau berkata, selain hadiah mangsa turut dijanjikan akan dihadiahkan sejumlah wang tunai yang semuanya bernilai lebih RM330,000 sebagai tanda persahabatan.

"Dua hari kemudian iaitu pada 22 November 2021, mangsa menerima panggilan kononnya wakil syarikat kurier memaklumkan terdapat bungkusan daripada lelaki bernama Davis. Namun mangsa perlu buat beberapa bayaran termasuk caj kastam.

"Mangsa kemudian membuat beberapa transaksi pembayaran semuanya berjumlah RM117,759 sebelum menyedari ditipu kerana tidak menerima sebarang bungkusan sebaliknya diminta membuat bayaran tambahan," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini, tadi.

ABDUL Majid (kiri) menunjukkan barang rampasan kes penipuan parcel di IPK Melaka, Ayer Keroh. FOTO Syafeeq Ahmad
ABDUL Majid (kiri) menunjukkan barang rampasan kes penipuan parcel di IPK Melaka, Ayer Keroh. FOTO Syafeeq Ahmad

Bertindak atas laporan dibuat mangsa, polis kemudian berjaya menahan enam warga Afrika termasuk tiga perempuan dalam dua serbuan berasingan di Puchong, Selangor, kira-kira jam 10 malam pada 30 Disember lalu.

"Mereka ini ditahan di dua unit berasingan di pangsapuri sama dan kesemua mereka berusia antara 30 hingga 40-an selain dikatakan tidak bekerja.

"Siasatan dijalankan juga mendapati sindiket itu dipercayai aktif sejak dua tahun lalu selain turut tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan memasuki negara ini," katanya.

Abdul Majid berkata, siasatan awal ke atas barang rampasan antaranya komputer riba, telefon bimbit dan bungkusan pos laju mengesyaki suspek terbabit dalam dua kes penipuan lain.

"Bagaimanapun siasatan lanjut berhubung kaitan itu masih dijalankan selain barangan rampasan ini akan dihantar ke Jabatan Forensik untuk dianalisa.

"Malah polis turut menjalankan siasatan ke atas seorang wanita warga tempatan berusia 50-an iaitu pemilik nombor akaun yang digunakan suspek dipercayai ada hubungan dengan salah seorang suspek warga asing itu," katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, kesemua suspek kini direman selain kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 5:53 PM