GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Pasar Awam Bukit Mertajam yang ditutup 10 hari akibat penularan kes positif Covid-19, akan dibuka semula esok.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Datuk Rozali Mohamud berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk membuka semula pasar awam itu selepas semua peniaga dan pekerja melepasi tempoh kuarantin 10 hari seperti yang ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya, peniaga atau pekerja yang masih berada dalam pengawasan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Tengah dan belum tamat tempoh kuarantin adalah tidak dibenarkan untuk menjalankan sebarang aktiviti dalam pasar awam berkenaan.

"Bagi memastikan hanya peniaga yang benar-benar bebas daripada Covid-19 sahaja berada di pasar awam itu, kawalan seawal jam 4 pagi juga akan dibuat oleh MBSP untuk tujuan semakan saringan sebelum kemasukan ke pasar.

"Selain itu, mana-mana pemilik premis dan peniaga yang menggajikan atau menggunakan khidmat pekerja warga asing, kesemua pekerja ini dikehendaki menjalankan ujian calitan Covid-19 dan hendaklah disahkan negatif sebelum dibenarkan bekerja," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, MBSP berharap, pembukaan semula pasar awam itu mampu merancakkan kembali perniagaan di kawasan berkenaan namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya kejadian sama tidak berulang.

Isnin lalu, Pasar Awam Bukit Mertajam diarah tutup 10 hari selepas tiga peniaga disahkan positif Covid-19.

Berikutan itu, 253 peniaga disaring dan daripada jumlah itu, 31 disahkan positif manakala selebihnya negatif.

Dalam pada itu, Rozali berkata, MBSP memasang kawad duri bagi mengawal kemasukan melalui beberapa laluan tikus di sekitar pasar awam itu.

"Semua pihak diingatkan supaya tidak merosakkan kawad duri selain menggunakan mana-mana laluan yang ditutup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 2:21 PM