KAWAD duri yang dipasang MBSP bagi memastikan orang ramai memasuki pasar melalui pintu utama dipotong. FOTO Danial Saad
KAWAD duri yang dipasang MBSP bagi memastikan orang ramai memasuki pasar melalui pintu utama dipotong. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Ada penduduk memotong kawad duri dipasang Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bagi menutup laluan lain untuk memasuki pasar awam kecuali pintu utama.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, pihaknya mendapat laporan terdapat individu merosakkan kawad duri yang dipasang.

"Kerosakan itu dilaporkan berlaku di Pasar Awam Bagan Ajam, Pasar Awam Bukit Mertajam dan Pasar Awam Tambun Indah.

"Siasatan masih dijalankan dan tindakan susulan akan diambil terhadap perbuatan vandalisme ini," katanya di sini, hari ini.

Orang awam yang didapati melakukan perbuatan merosakkan kawad duri boleh diambil tindakan di bawah Undang-Undang Kecil Vandalisme Majlis Perbandaran Seberang Perai 1993.

MBSP sebelum ini menutup kompleks makanan dan petak khinzir di Pasar Awam Bagan Ajam selama 10 hari selepas terdapat kes positif Covid-19 dilaporkan melalui Kluster Terbilang.

Kluster itu dipercayai berpunca daripada seorang lelaki Myanmar berusia 49 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 5 Mei hasil saringan individu bergejala.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 6:32 PM