Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Kubu Bharu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menyiasat punca harga minyak masak botol lima kilogram (kg) dijual pada harga tinggi.

Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, setakat ini sebanyak 11 notis dikeluarkan terhadap peruncit yang didapati menjual harga minyak masak botol lima kg pada harga tinggi.

Menurutnya, notis itu diberikan supaya peruncit dapat mengemukakan maklumat berkenaan bilangan pembelian dan harga diperoleh daripada pemborong.

"Hasil maklumat itu akan disiasat segera dan jika terdapat unsur kenaikan harga melampau akan dikenakan tindakan.

"Setakat ini kita masih belum boleh putuskan lagi keputusannya dan menunggu dalam tempoh selama dua hingga lima hari bagi mereka memberi maklumat sebelum tindakan seterusnya boleh diambil," katanya kepada pemberita selepas meninjau minyak masak lima kg di kedai runcit di sini, hari ini.

Muhamad Zikril berkata, siasatan dijalankan kerana ada tempat menjual minyak masak itu murah dan ada pula tempat yang menjualnya mahal, sebab itu pihaknya ingin lihat punca ia berlaku.

Beliau berkata, meskipun harga jualan minyak masak botol lima kg tidak dikawal kerajaan, namun pihak peniaga masih tertakluk di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Kita ada perkiraan peratusan yang boleh menunjukkan ada pencatutan atau tidak dan sekiranya berlaku tindakan akan diambil," katanya.

MUHAMMAD Zikril Azan Abdullah mendengar keluhan peniaga barangan runcit, Chng Bon Hu ketika memeriksa bekalan dan harga barang makanan. FOTO Fariz Iswadi Ismail
MUHAMMAD Zikril Azan Abdullah mendengar keluhan peniaga barangan runcit, Chng Bon Hu ketika memeriksa bekalan dan harga barang makanan. FOTO Fariz Iswadi Ismail

Semalam Harian Metro melaporkan KPDNHEP Selangor mengeluarkan 11 notis terhadap peruncit yang didapati menjual harga minyak masak botol lima kg pada harga tinggi.

Ia susulan hasil pemeriksaan dilakukan terhadap 23 peruncit mendapati terdapat peruncit yang menjual minyak masak botol lima kg pada harga mencecah RM34.20 sebotol selain terdapat juga peruncit yang masih mengekalkan harga jualan pada harga RM25.50.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 4:02 PM