Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Lapan peruncit di sekitar bandar raya ini diberikan Notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana disyaki menyorok minyak masak bersubsidi paket satu kilogram (kg), sehingga menimbulkan keresahan masyarakat.

Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, notis itu diberikan bagi mendapatkan maklumat serta penjelasan berhubung elemen pencatutan terhadap barang keperluan itu.

Katanya, notis itu diberikan selepas KPDNHEP Johor mengadakan operasi bersepadu dua jam di sekitar Kulai dan Kempas, di sini, selepas laporan bekalan minyak masak bersubsidi satu kg, terputus bekalan sejak dua minggu lalu di bandar raya ini disiarkan NSTP.

"Hasil siasatan awal mendapati tindakan peruncit menyorok bekalan mereka kerana enggan menjual minyak paket disebabkan margin keuntungan yang rendah berbanding minyak botol.

"KPDNHEP Johor juga sedang menyiasat punca harga minyak botol yang mendadak naik sehingga menimbulkan keluhan pengguna," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meminjau operasi bersepadu KPDNHEP Johor memeriksa bekalan minyak masak di Kempas,hari ini.

Dalam perkembangan sama, katanya, pemeriksaan sedang dilakukan dari peringkat pengeluar atau pengilang, pemborong sehinggalah ke peruncit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 4:12 PM