FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Asrol Awang


Kuantan: Dua peruncit di daerah ini menerima notis daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang kerana didapati menjual minyak masak pada harga tinggi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Pahang Normaswari Nordin berkata, berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan, peruncit itu didapati menjual harga minyak masak botol lima kilogram masing-masing dengan harga RM32.65 dan RM33.59.

"Walaupun harga jualan minyak masak botol lima kilogram tidak dikawal oleh pihak kerajaan, peniaga masih tertakluk kepada perundangan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Jika ada peniaga yang melakukan kesalahan itu, mereka boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana mengambil keuntungan tidak munasabah atau mencatut.

"Berdasarkan pemeriksaan itu mendapati masih ada peruncit yang menjual minyak masak botol lima kilogram serendah RM23.64 manakala paling mahal RM33.59.

"Harga purata minyak botol lima kilogram pula dijual pada RM29.57," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas bekalan minyak masak di Pahang, beliau berkata, tiada masalah kekurangan bekalan bahan itu sama ada membabitkan minyak masak bersubsidi dan tidak bersubsidi.

Katanya, peruncit hanya dibenarkan mengehadkan penjualan tiga paket minyak masak bersubsidi bagi setiap pelanggan untuk memastikan bekalan sentiasa ada dan mencukupi.

"Hanya minyak masak paket yang dikategorikan sebagai bersubsidi ditetapkan RM2.50 satu kilogram manakala minyak masak yang lain pula diklasifikasikan dalam kategori tidak bersubsidi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 4:02 PM