PEGAWAI penguat kuasa KPDNHEP menjalankan operasi pemantauan harga minyak di Selangor. FOTO ihsan KPDNHEP
PEGAWAI penguat kuasa KPDNHEP menjalankan operasi pemantauan harga minyak di Selangor. FOTO ihsan KPDNHEP
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Meskipun pemeriksaan dan penguatkuasaan berterusan dilaksanakan di seluruh negara, namun masih ada peruncit yang menaikkan harga minyak sesuka hati sehingga mencecah RM34.20 sebotol.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, tindakan menaikkan harga secara mendadak itu dikesan oleh pihaknya menerusi operasi pemantauan harga minyak masak botol 5kg di Selangor, hari ini.

"Hasil pemeriksaan ke atas 23 peruncit mendapati ada peruncit yang menjual minyak masak botol 5 kg pada harga mencecah RM34.20 sebotol.

"Justeru itu, KPDNHEP Selangor mengeluarkan 11 notis terhadap peruncit-peruncit berkenaan bagi membekalkan perincian harga jualan dan harga kos barangan untuk tujuan siasatan lanjut sama ada berlaku pengambilan keuntungan berlebihan atau tidak.

"Peniaga-peniaga ini diberi tempoh masa selama dua hari hingga lima hari bekerja untuk membekalkan maklumat yang diarahkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhamad Zikril Azan berkata, ketika pemeriksaan dijalankan, peruncit juga memaklumkan kenaikan harga jualan disebabkan pihak pembekal menaikkan harga kos minyak masak berkenaan dan memaksa mereka menaikkan harga jualan.

"Di samping itu, alasan kenaikan harga pasaran minyak masak global turut mempengaruhi kenaikan harga jualan minyak masak dipremis mereka.

"KPDNHEP Selangor turut mengenal pasti pembekal yang menaikkan harga jualan minyak masak botol 5 kg kepada peruncit dan tindakan susulan akan dilakukan terhadap mereka didalam masa yang terdekat ini.

"Bagaimanapun, dalam pemeriksaan Itu terdapat juga peruncit yang masih mengekalkan harga jualan pada nilai RM25.50," katanya.

Beliau berkata, walaupun harga jualan minyak masak botol 5 kg tidak dikawal oleh pihak kerajaan, namun peniaga masih tertakluk di bawah perundangan Akta Kawalan Harga & Anti Pencatutan 2011.

"Pihak peniaga tidak boleh mengambil kadar keuntungan lebih dari kadar keuntungan yang biasa diperolehi oleh peniaga berkenaan.

"Sekiranya terdapat peniaga yang melakukan kesalahan itu, mereka boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana mengambil keuntungan tidak munasabah atau mencatut," katanya.

Operasi pemeriksaan dan pemantauan itu membabitkan 20 pegawai penguat kuasa KPDNHEP Selangor susulan laporan harga jualan sebotol minyak masak 5 kg melebihi paras harga RM32 sebotol.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 6:04 PM