PEGAWAI penguatkuasa KPDNHEP Selangor membuat pemeriksaan terhadap harga minyak masak botol lima kg di sembilan daerah di negeri ini, hari ini. FOTO ihsan KPDNHEP
PEGAWAI penguatkuasa KPDNHEP Selangor membuat pemeriksaan terhadap harga minyak masak botol lima kg di sembilan daerah di negeri ini, hari ini. FOTO ihsan KPDNHEP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengeluarkan 11 notis terhadap peruncit yang didapati menjual harga minyak masak botol lima kilogram (kg) pada harga tinggi.

Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pihaknya menerusi 20 pegawai menjalankan pemeriksaan dan pemantauan harga bahan berkenaan di peringkat peruncit di sembilan daerah di negeri ini bermula jam 11 pagi tadi.

"Hasil pemeriksaan dilakukan terhadap 23 peruncit mendapati terdapat peruncit yang menjual minyak masak botol lima kg pada harga mencecah RM34.20 sebotol selain terdapat juga peruncit yang masih mengekalkan harga jualan pada harga RM25.50.

"Melihat kepada tren harga minyak masak botol lima yang terlalu tinggi itu, kami mengeluarkan 11 notis terhadap peruncit berkenaan bagi membekalkan perincian harga jualan dan harga kos barangan.

"Ia bagi tujuan siasatan lanjut sama ada berlaku pengambilan keuntungan berlebihan atau tidak. Mereka diberi tempoh selama dua hingga lima hari bekerja untuk membekalkan maklumat yang diarahkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhamad Zikril berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, pihak peruncit juga memaklumkan bahawa kenaikan harga jualan itu disebabkan oleh pembekal menaikkan harga kos minyak masak botol berkenaan dan memaksa mereka menaikkan harga.

"Selain itu, alasan kenaikan harga pasaran minyak masak global turut mempengaruhi kenaikan harga jualan minyak masak di premis mereka.

"Kami turut mengenal pasti pembekal-pembekal yang menaikkan harga jualan minyak masak botol lima kg kepada peruncit dan tindakan susulan akan dilakukan terhadap mereka dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata, meskipun harga jualan minyak masak botol lima kg tidak dikawal kerajaan, namun pihak peniaga masih tertakluk di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Pihak peniaga tidak boleh mengambil kadar keuntungan lebih dari kadar keuntungan yang biasa diperoleh oleh peniaga berkenaan.

"Sekiranya terdapat peniaga yang melakukan kesalahan itu, mereka boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana mengambil keuntungan tidak munasabah atau mencatut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 4:55 PM