Siti Rohana Idris

Tumpat: Bukan sahaja diuji dengan kehilangan satu jari kaki dan separuh tapak kaki dibuang akibat penyakit kencing manis, derita Nik Mohd Fazli Che Omar terus bertambah apabila diserang strok diikuti penyakit buah pinggang kronik.

Serangan strok sebelah kiri tubuh dan buah pinggang kronik yang memerlukannya menjalani rawatan dialisis itu dialaminya sejak tiga minggu lalu, menyebabkan Nik Mohd Fazli terlantar dan hanya mengadu kesakitan setiap masa.

Isterinya, Rogayah Daud, 54 berkata, deria penglihatan suaminya juga semakin teruk berbanding sebelum ini malah pertuturannya juga sudah tidak jelas menyebabkan Nik Mohd Fazli kini bergantung sepenuhnya kepadanya.

"Sebelum diserang strok dan dikesan menghidap penyakit buah pinggang, suami masih boleh bangun berjalan dan mampu menguruskan diri termasuk ke bilik air walau dengan keadaan meraba kerana penglihatannya kabur.

"Kini keadaannya semakin teruk apabila lumpuh sebelah kiri tubuh, pahanya juga sudah ditebuk dua minggu lalu untuk dimasukkan tiub bagi proses dialisis dan suami kini hanya bergantung kepada susu khas serta dipakaikan lampin pakai buang," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang, di sini, baru-baru ini.

Rogayah berkata, suaminya akan menjalani rawatan dialisis di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu dalam masa terdekat namun dia buntu berikutan masalah pengangkutan dan kekangan kewangan.

Masalah kewangan mereka semakin bertambah apabila perlu menyediakan bekalan susu khas untuk Nik Mohd Fazli yang berharga RM10.80 sebotol dan perlu diberikan tiga botol sehari malah dianggarkan kosnya mencecah RM1,000 untuk sebulan.

"Susu khas ini perlu diberi berterusan selama tempoh enam bulan dan doktor memberitahu jika suami ada perkembangan baik selepas itu, ia (susu khas) boleh dihentikan tapi jika masih tiada perubahan, pemberiannya perlu diteruskan," katanya.

NIK Mohd Fazli Che Omar kini hanya mampu terlantar dan dijaga oleh isterinya, Rogayah Daud. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
NIK Mohd Fazli Che Omar kini hanya mampu terlantar dan dijaga oleh isterinya, Rogayah Daud. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Terdahulu mereka menerima kunjungan aktivis masyarakat, Wan Zahari Wan Othman yang menyampaikan sumbangan zakat dan makanan sambil bertanya khabar mereka sekeluarga.

Rogayah berkata, untuk menyara hidupnya bersama suami dan tujuh anak, dia mengambil upah mengasuh anak jiran dengan bayaran RM300 sebulan selain bergantung kepada wang pencen ilat Nik Mohd Fazli RM500 sebulan dan RM250 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Anak sulungnya, Nik Mohd Fikri, 24, masih menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) manakala yang kedua pula, Nik Fadilah Izzati, 22, terpaksa menolak tawaran universiti kerana memberi laluan kepada abangnya itu memandangkan mereka menerima tawaran melanjutkan pengajian serentak.

"Selain Nik Fadilah Izzati, seorang lagi anak saya mempunyai masalah penglihatan iaitu menderita rabun teruk dan mereka belajar di kelas pendidikan khas ketika sekolah dahulu," katanya.

Bagi yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Rogayah di talian 0133674812.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 3:02 PM