KUALA LUMPUR 07 JUN 2021. Penjual, Mohd Salleh, 40(kanan) tidak mengambil kesempatan untuk menaikan harga minyak di kedai runcitnya di Flat Taman Keramat. NSTP/FATHIL ASRI.
KUALA LUMPUR 07 JUN 2021. Penjual, Mohd Salleh, 40(kanan) tidak mengambil kesempatan untuk menaikan harga minyak di kedai runcitnya di Flat Taman Keramat. NSTP/FATHIL ASRI.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: "Kekurangan bekalan minyak masak peket satu kilogram (subsidi) menyebabkan peniaga seperti saya terpaksa membeli minyak masak dalam botol (lima kilogram)," kata Badrulhisham Taman, 48.

Badrulhisham berkata, dia mengalami kesukaran mendapatkan bekalan minyak masak peket satu kilogram di kawasan berhampiran rumahnya di Wangsa Maju, di sini, sejak beberapa hari lalu.

"Selalunya saya beli minyak masak peket satu kilogram untuk berniaga, namun bekalan minyak masak itu sukar dicari di kawasan berhampiran rumah.

"Keadaan itu menyebabkan saya terpaksa membeli minyak masak botol meskipun harganya dilihat naik sejak kebelakangan ini.

"Peningkatan harga minyak masak dalam botol ini secara tidak langsung membebankan peniaga kedai makan seperti saya memandangkan ia keperluan asas untuk perniagaan ini," katanya.

Suri rumah, Noor Liza Abd Malek, 50, berkata, sebelum ini, harga minyak masak dalam botol dianggarkan antara RM20 hingga RM30 mengikut jenis.

"Namun, saya lihat sekarang harga minyak masak botol naik beberapa ringgit hingga ada yang mencecah RM36 setiap satu mengikut jenama.

"Saya rasa harga bahan itu mula naik pada minggu lalu kerana saya ada beli minyak masak botol lima kilogram pada harga RM28 yang sebelum ini (jenama sama) dibeli pada harga RM26," katanya.

Sementara itu, pemilik kedai runcit Mohamad Salleh, 40, berkata, dia masih menjual minyak masak dalam botol lima kilogram mengikut harga lama.

"Bekalan minyak masak botol di kedai ini adalah bekalan lama dan sebab itu saya masih jual pada harga lama yang saya ambil dari pemborong.

"Setakat ini, bekalan minyak masak botol masih senang diperolehi dari pemborong. Cuma sekarang saya tidak ambil bekalan baru kerana bekalan lama masih ada," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan, Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam memaklumkan pihaknya menerima 15 aduan membabitkan kenaikan minyak masak dalam botol selain kelewatan bekalan barang sejak Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) bermula 1 Jun lalu hingga semalam.

Menurutnya, setakat ini, tiada tindakan yang diambil dan pihaknya akan melakukan pemantauan secara berterusan sepanjang tempoh pelaksanaan 'lockdown' bagi memantau harga barang keperluan.

Tinjauan wartawan Harian Metro di beberapa kedai runcit serta pasar raya di sekitar ibu kota mendapati minyak masak dalam botol lima kilogram dijual pada harga antara RM26 hingga RM36 mengikut jenama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 4:33 PM