NIGEL menunjukkan aplikasi MySejahtera ketika di bawah pemerhatian selepas menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Setia SPICE Arena, Bayan Baru, di sini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
NIGEL menunjukkan aplikasi MySejahtera ketika di bawah pemerhatian selepas menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Setia SPICE Arena, Bayan Baru, di sini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: "Ketika melangkah masuk ke sini, terdetik di hati rasa kagum dengan semangat kesukarelawanan petugas yang sangat positif membantu," kata warganegara Britain Nigel David Toates, 62.

Pesara itu yang berkahwin dengan warga tempatan sejak lebih dua tahun lalu berkata, bermula dengan susunan parkir yang teratur, lokasi pendaftaran dan urusan ke kaunter juga sangat mudah serta cepat.

"PPV (Pusat Pemberian Vaksin) ini amat luas, namun kerjasama baik itu menjadikan urusan pengambilan vaksinasi menjadi mudah dan cepat, malah lokasinya juga sangat selesa.

"Saya begitu bersemangat ketika menerima suntikan vaksin Covid-19 ini kerana kesemua ahli keluarga di England juga sudah selesai mengambilnya," katanya ketika ditemui di PPV Setia Spice Arena, Bayan Baru, di sini, hari ini.

Sementara itu, warga emas Sin Tee Boy, 70, yang berstatus orang kurang upaya (OKU) kudung kaki kiri berkata, pada mulanya dia enggan menerima suntikan vaksin, namun dia memberanikan diri untuk melindungi diri selepas kes didapati semakin meningkat

"Sebelum itu saya cari informasi mengenai pengambilan vaksin ini kerana saya mempunyai penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis yang menyebabkan kaki terpaksa dipotong, enam bulan lalu.

"Selepas mendapatkan pandangan doktor ternyata ia adalah selamat dan mendorong saya mengesahkan janji temu penerimaan vaksin," katanya.

Mohamed Ayub Syed Mashood, 61, dari Kampung Melayu, Ayer Itam, di sini, berkata dia mendapat galakan dan dorongan daripada anaknya yang juga petugas barisan hadapan untuk menerima suntikan vaksin.

Katanya, dia hadir bersama isteri bagi meminta kebenaran doktor sama ada kedua-keduanya boleh menerima suntikan pada hari yang sama.

"Tarikh penerimaan vaksin isteri saya ialah pada 12 Jun ini, dan saya bawa dia bersama supaya mungkin boleh disuntik sekali, namun dimaklumkan dos vaksin hanya disediakan mengikut penerima yang ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 5:01 PM