ROZITA (tengah) bersama Danial (kanan) dan Danish selepas menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
ROZITA (tengah) bersama Danial (kanan) dan Danish selepas menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: "Memang hati saya berbelah-bahagi bagi mengizinkan anak kembar kembali bersekolah secara bersemuka sejurus kebenaran itu diumumkan kerajaan, baru-baru ini.

"Namun apabila kerajaan turut mengumumkan pemberian vaksin bagi pelajar sekolah, perasaan saya sedikit lega."

Begitu kata Roziah Pariti, 53, yang ditemui ketika menemani anak kembarnya, Danial Husni dan Danish, 16, menerima suntikan vaksin Covid-19 kepada pelajar sekolah di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SPICE Convention Centre, di sini, semalam.

Suri rumah itu berkata, penerimaan vaksin itu diharap sekurang-kurangnya dapat menjadi 'perisai' terhadap keselamatan anaknya sepanjang berada di sekolah.

"Kedua-duanya tinggal di asrama sekolah dan mereka tidak banyak bertanya mungkin sudah mengetahui mengenai kebaikan pengambilan vaksin menerusi media sosial.

"Semoga mereka boleh belajar secara bersemuka seperti biasa dan bertemu semula dengan guru serta rakan dalam keadaan norma baharu," katanya.

Muhammad Khairani Khashim, 17, dari Balik Pulau berkata, dia diberitahu guru dan rakan supaya pelajar memeriksa aplikasi MySejahtera masing-masing untuk mendapatkan vaksin berkenaan.

"Difahamkan bahawa suntikan bagi dos kedua nanti, kami boleh ambil di PPV terdekat dan itu lebih mudah.

"Saya gesa kepada semua rakan supaya tidak mendengar khabar angin tidak sahih menerusi media sosial dan bersedia bagi menerima vaksin," kata pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 11:01 AM