ABD Razak memegang plakad 'Saya telah divaksin'  selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di PPV Masjid At-Taqwa. FOTO Ghazali Kori
ABD Razak memegang plakad 'Saya telah divaksin' selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di PPV Masjid At-Taqwa. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Rindu suasana berjemaah di masjid dan surau, mahu berjumpa anak dan cucu selain mahu menjalani kehidupan normal seperti dahulu mendorong warga emas di negeri ini tampil mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Tinjauan di pusat pemberian vaksin (PPV) masjid di Masjid At-Taqwa Durian Burung yang julung kali dibuka mendapati majoriti penerima suntikan yang ditemui melahirkan rasa lega dan teruja selepas menjadi individu terawal menerima suntikan dos pertama vaksin hari ini.

Masjid At-Taqwa Durian Burung menjadi PPV masjid pertama dan projek perintis di negara ini yang diwujudkan bagi memudahkan penduduk setempat mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Terdahulu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim turut meninjau kelancaran proses suntikan di PPV di masjid berkenaan.

Tukang sapu, Abd Razak Abd Rahman, 62, berkata, dia bersyukur apabila dipanggil untuk menerima suntikan vaksin dos pertama pada hari ini.

"Kita tahu negara masih berperang dengan Covid-19 dan situasi itu menyebabkan kehidupan kita tidak seperti dahulu.

"Walaupun masjid dibuka tetapi jumlah jemaah yang dibenarkan hadir terhad dan situasi itu menyebabkan saya rindu suasana berjemaah serta melakukan aktiviti lain di masjid.

"Apabila sudah menerima suntikan, sedikit sebanyak rasa risau itu hilang terutama apabila berada di tempat awam dan tidak sabar rasanya untuk bertemu anak dan cucu yang berada di perantauan serta ke masjid seperti biasa," katanya ketika ditemui di Masjid At-Taqwa Durian Burung di sini hari ini.

Pesara guru, Fauzi Ismail, 60, berkata, pengambilan vaksin perlu supaya masyarakat dapat kembali kepada kehidupan harian terutama bagi mereka yang terjejas dan tidak boleh bekerja disebabkan pandemik Covid-19.

"Pengambilan vaksin ini perlu untuk memudahkan urusan harian kita dan sudah masanya untuk kita kembali semula kepada kehidupan yang asal iaitu sebelum dunia dilanda pandemik Covid-19.

"Sebagai rakyat Malaysia, saya sudah jalankan tanggungjawab dengan menyahut saranan kerajaan dan saya berharap pandemik Covid-19 segera berakhir bagi membolehkan rakyat menjalani kehidupan seperti sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 5:00 PM