Suraya Roslan

Subang Jaya: Meyakinkan dan tidak sakit. Itu pengalaman beberapa ibu mengandung sebaik menerima suntikan vaksin kedua hari ini.

Suri rumah, Norfarzana Mohd Zahari, 26, yang kini hamil 34 minggu berkata, dia gembira kerana berjaya melengkapkan dos kedua vaksin di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid (SPCC), di sini.

"Saya bersyukur mendapat suntikan vaksin Covid-19 lebih awal sebelum bersalin.

"Sebelum menerima suntikan vaksin ini, saya ada berunding dan mendapatkan pandangan pakar adakah vaksin ini selamat untuk ibu hamil seperti saya.

"Alhamdulillah, pakar sangat mengesyorkan saya mengambil suntikan ini untuk melindungi diri daripada Covid-19," katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sunway Pyramid, SPCC, hari ini.

Bagi P Kushalini, 36, yang hamil anak pertama berkata, ketika menerima suntikan pertama, dia tidak merasai sebarang kesan sampingan.

"Saya rasa lebih dilindungi dengan pengambilan vaksin dan harap suntikan kedua juga tiada sebarang kesan sampingan.

"Saya berharap lebih ramai orang mengambil vaksin dan ini adalah tanggungjawab kita terhadap negara," katanya.

Dia yang hamil lapan bulan berkata, ketika mendapatkan pandangan doktor, semua ibu mengandung disarankan untuk mengambil suntikan vaksin ini.

"Dalam usaha membendung wabak ini, kita perlu percaya dan yakin dengan pakar perubatan di negara kita," katanya.

Jurutera, Zati Husna, 35, berkata, dia menggalakkan ibu hamil mengambil vaksin demi mendapatkan perlindungan diri.

"Saya tidak terfikir mengenai kesan sampingan dan kalau boleh hendak cepat dapat vaksin.

"Alhamdulillah, hari ini saya dapat melengkapkan vaksin saya walaupun kandungan sudah mencecah 37 minggu," katanya.

Dia yang juga hamil anak pertama berkata, sebelum mendapatkan suntikan vaksin, dia berunding dan bertanyakan doktor mengenai kesan sampingan.

"Saya berharap wanita hamil di luar sana, daftar dan datang untuk mengambil suntikan.

"Percayalah, kita tidak akan rugi apa pun, malah membantu mempercepatkan negara mendapat imuniti kelompok," katanya.

ANTARA wanita mengandung menerima suntikan dos kedua di PPV Sunway Pyramid Convention Centre, Petaling Jaya. FOTO Hairul Anuar Rahim
ANTARA wanita mengandung menerima suntikan dos kedua di PPV Sunway Pyramid Convention Centre, Petaling Jaya. FOTO Hairul Anuar Rahim

Sementara itu, Penyelaras Sunway Healthcare Group, Angela Lee berkata, seramai 1,800 ibu hamil berjaya melengkapkan suntikan kedua di SPCC hari ini.

"Tiga minggu lalu mereka mendapat suntikan vaksin pertama dan hari ini untuk dos kedua.

"Ketika ini, SPCC boleh memuatkan 5,000 hingga 5,200 orang untuk menerima suntikan.

"Untuk persediaan hari ini, kita juga menyediakan pakar obstetrik dan ginekologi serta jururawat perbidanan bagi memastikan ibu mengandung selamat menerima suntikan kedua," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 3:16 PM