Hamzah Zainuddin pada sidang media selepas tinjauan pematuhan sop Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 di Pusat Beli Belah Mid Valley bagi memendung penularan wabak Covid19. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Hamzah Zainuddin pada sidang media selepas tinjauan pematuhan sop Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 di Pusat Beli Belah Mid Valley bagi memendung penularan wabak Covid19. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Jumlah sekatan jalan raya (SJR) akan ditingkatkan hingga mencecah 1,000 pada hari ini berikutan masih banyak pergerakan kenderaan terutama di ibu kota dan Selangor.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, terdapat 887 SJR dan 43 SJR Op Benteng diadakan di seluruh negara menjadikan jumlah keseluruhan kepada 930, setakat semalam.

"Setakat malam tadi, 86,000 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara. Hasil pemantauan dilakukan sejak hari pertama pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, saya dapati masih ada banyak pergerakan kenderaan terutama di Kuala Lumpur dan Selangor.

"Saya sudah arahkan Ketua Polis Negara (Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani) untuk menambah jumlah SJR terutama di dua negeri ini bagi mengehadkan pergerakan kenderaan yang banyak di kawasan berkenaan.

"Selain itu, beberapa lokasi di Pulau Pinang juga akan ditambah jumlah SJR kerana banyak pergerakan kenderaan," katanya.

Beliau berkata ketika ditemui selepas melakukan tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah pusat beli-belah di Bangsar di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim dan Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar.


Hamzah berkata, pihaknya akan menempatkan pasukan pemantauan di pintu masuk pusat beli-belah pada hujung minggu ini dan Isnin ini untuk mengelakkan orang ramai berkumpul di premis berkenaan.

Isnin ini adalah hari kelepasan am atau cuti umum sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.

"Kita bimbang pusat beli-belah di seluruh negara akan menjadi tumpuan orang ramai untuk aktiviti riadah dan berkumpul berikutan cuti hujung minggu yang panjang pada tiga hari berkenaan.

"Dalam tempoh ini, saya minta tolong kepada semua supaya tidak menjadikan pusat beli-belah sebagai lokasi untuk bertemu atau berjumpa kecuali mereka yang mahu membeli barangan penting sahaja," katanya.

Menurut Hamzah, dalam tempoh empat hari pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, berlaku penurunan pergerakan kenderaan di seluruh negara pada hari pertama.

"Berdasarkan tinjauan yang saya lakukan pada hari pertama di lokasi SJR, pergerakan kenderaan menurun. Namun, tinjauan pada hari kedua dan ketiga mendapati terdapat pertambahan jumlah kenderaan di beberapa lokasi.

"Saya tidak berpuas hati dengan jumlah pergerakan kenderaan yang dilihat meningkat dan akan mempertingkatkan jumlah pemantauan dan SJR di lokasi yang dikenal pasti," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 2:16 PM