Nurul Hidayah Bahaudin


LENGANG dan sunyi. Itu situasi terkini di pusat beli-belah sekitar Kuala Lumpur berbanding tahun sebelumnya yang sesak dengan kunjungan orang ramai untuk membeli persiapan menyambut Aidilfitri terutamanya dua minggu terakhir Ramadan.

Anggota tentera, Safri Dewi, 34, berkata, dia membawa isteri serta tiga anaknya membeli pakaian untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri di sekitar kawasan berkenaan.

"Jika dilihat di keadaan sekeliling kawasan ini, tidak ramai orang berkunjung di kebanyakan kedai dan pusat beli-belah dengan tiada barisan panjang untuk masuk ke dalam premis.

"Saya difahamkan kebanyakan premis tidak membenarkan orang ramai membawa kanak-kanak masuk menyebabkan hanya isteri yang membeli pakaian, manakala saya menunggu di luar," katanya ketika ditemui di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Munshi Abdullah, di Kuala Lumpur, hari ini.

Bagi juruteknik teknologi maklumat (IT) Mohd Khairi Mohd Nazim 37, dia berkunjung ke Plaza City One untuk mencari pakaian hari raya termasuk songket dan pakaian seragam kerja.

"Setiap tahun memang saya akan membeli-belah kelengkapan menjelang dua minggu sebelum raya. Pada tahun sebelumnya, kebanyakan lokasi dipenuhi orang ramai, namun kali ini keadaan agak lengang dan sunyi.

"Malah, tidak banyak kedai yang buka menyebabkan pilihan menjadi terhad," katanya.

KPDN menumpaskan penyelewengan gas petroleum cecair di Mantin, Negeri Sembilan, kelmarin. FOTO Ihsan KPDN
KPDN menumpaskan penyelewengan gas petroleum cecair di Mantin, Negeri Sembilan, kelmarin. FOTO Ihsan KPDN

Sementara itu, jurujual Radiah Md Salleh, 33, berkata, pengalaman membeli-belah ketika ini amat berlainan jika dibandingkan pada tahun sebelumnya.

"Dahulu, semua tempat sesak dengan orang ramai membeli-belah untuk membeli kelengkapan hari raya, namun sekarang banyak lokasi lengang dan sunyi.

"Walaupun prosedur operasi standard (SOP) memerlukan orang ramai berbaris untuk masuk ke dalam premis, namun barisan tidak terlalu panjang," katanya.

Tinjauan wartawan Harian Metro di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Masjid India, di Kuala Lumpur, mendapati tidak ramai orang membeli-belah di kawasan berkenaan.

Pada masa sama, semua kedai serta pusat beli-belah di kawasan itu memenuhi SOP ditetapkan dengan mengehadkan jumlah pengunjung, memeriksa suhu badan dan mendapatkan maklumat orang ramai sebelum dibenarkan memasuki premis.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 3:02 PM