Pusat beli belah The Curve.
Pusat beli belah The Curve.
Nurul Hidayah Bahaudin

Subang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melancarkan Operasi Had Dua Jam (Op Had 2J) bermula hari ini di seluruh negara dalam usaha menguatkuasakan pematuhan operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, pelaksanaan operasi itu bertujuan untuk memantau pematuhan SOP ke atas sektor perdagangan berkaitan had masa maksimum dua jam keberadaan pelanggan dalam sesebuah premis perniagaan.

"Bagi tujuan itu, KPDNHEP akan menggerakkan seramai 2,262 pegawai penguat kuasa di seluruh negara bagi memantau dan memastikan pematuhan sepenuhnya SOP berkenaan dengan memberi tumpuan ke pusat beli-belah, pasar raya, pasar malam dan lain-lain premis.

"Untuk pemantauan pematuhan SOP ini, pemeriksaan rawak melalui aplikasi MySejahtera akan dilakukan oleh pihak berkuasa seperti polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain KPDNHEP terhadap pengunjung di premis berkenaan.

"Sekiranya didapati ada pengunjung yang melebihi had masa dua jam ditetapkan, mereka boleh dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana melanggar SOP PKP," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melakukan tinjauan dan pemeriksaan terhadap pengunjung di Sunway Pyramid di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azmi Adam dan Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Selangor Muhammad Zikril Azan Abdullah.

Dalam pemantauan di pusat beli-belah berkenaan, Hasnol berkata, pihaknya memeriksa seramai 230 pengunjung secara rawak ketika mereka keluar dari premis serta membeli-belah.

"Hasil pemeriksaan itu, kami mendapati kebanyakan pengunjung berada di pusat beli-belah ini kurang daripada dua jam.

"Ada pengunjung yang diperiksa di pintu keluar premis hanya berada di pusat beli-belah ini selama 20 minit sahaja.

"Hanya ada seorang individu yang kami periksa didapati berada di pusat beli-belah ini selama dua jam empat minit, namun hanya teguran diberikan tanpa kompaun dikeluarkan.

"Rata-rata pengunjung di pusat beli-belah ini didapati mematuhi SOP berkenaan dengan tidak berada di premis lebih daripada dua jam seperti ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, kerjasama daripada orang ramai penting bagi memastikan SOP berkenaan dipatuhi dalam usaha kerajaan mengurangkan kesesakan di pusat beli-belah, pasar raya dan lain-lain premis untuk mengawal penularan Covid-19.

"Kami menyambut baik langkah tambahan diambil oleh pihak pengurusan pusat beli-belah yang menggunakan pendekatan sendiri seperti penggunaan alat teknologi, pemantauan oleh kakitangan dan pemberian tag bagi mengelak ada pengunjung yang berada di dalam premis lebih dari dua jam.

"Pada masa yang sama, kami nasihatkan kepada orang ramai supaya mematuhi SOP ini sebagai kawalan kendiri bagi mengelakkan jangkitan Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 3:22 PM