Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my

Johor Bahru: Jumlah sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini ditambah kepada 62 sepanjang tempoh pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP), yang berkuat kuasa semalam sehingga 14 Jun depan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah SJR pada SPP kali ini ditambah sembilan lagi, berbanding hanya 53, sebelum ini.

"Seramai 669 anggota polis ditugaskan di 62 SJR negeri ini bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara menyeluruh terhadap semua kenderaan bagi kebenaran merentas daerah dan negeri.

"Bagi memastikan kelancaran di SJR, seramai 342 anggota agensi lain turut membantu membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan RELA," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, selain pemantauan lebih ketat di setiap SJR negeri ini, polis Johor turut memperkasakan pasukan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Pasukan pemantauan pematuhan SOP ditambah kepada 273 pasukan kali ini berbanding hanya 267 sebelum ini.

"Seramai 1,092 anggota terbabit dengan pasukan pemantauan pematuhan ini dan bagi pasukan 'snap check' pula seramai 506 anggota ditugaskan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa patuh kepada SOP Sekatan Pergerakan Penuh bagi mengelakkan mereka menerima tindakan termasuk kompaun," katanya.

TINJAUAN sepanjang pelaksanaan SPP di SJR Seelong, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
TINJAUAN sepanjang pelaksanaan SPP di SJR Seelong, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Dalam pada itu, tinjauan di SJR Seelong di sini, yang bersempadan dengan daerah Kulai mendapati jumlah kenderaan yang melalui kawasan itu berkurangan berbanding sebelum ini.

Anggota polis bertugas dilihat melakukan pemeriksaan ketat dengan memeriksa dokumen kebenaran termasuk surat kebenaran kerja daripada kementerian berkaitan sebelum dibenarkan melepasi sekatan berkenaan.

Kebanyakan kenderaan yang melalui sekatan di situ adalah membabitkan kenderaan berat terutama lori berikutan kawasan di situ mempunyai beberapa kawasan perindustrian utama Johor.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 4:33 PM