Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my


Johor Bahru: Polis Johor menerima 19,090 permohonan merentas daerah dan negeri bermula Ahad lalu hingga semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, permohonan itu naik mendadak berbanding hanya 14,281 permohonan antara 25 April dan 1 Mei lalu.

Katanya, daripada keseluruhan permohonan itu, sebanyak 286 ditolak yang sebahagian besarnya kerana alasan yang diberikan tidak munasabah termasuk mahu pulang berhari raya dan rindukan keluarga sedangkan mereka tahu kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)berikutan peningkatan mendadak kes positif Covid-19.

"Mulai esok, tiada nasihat akan diberikan, jika sesiapa ditahan kerana merentas negeri dan daerah tanpa kebenaran, mereka akan terus dikompaun.

"Jadi jangan marah polis dan kata kami tidak bertimbang rasa kerana sudah banyak nasihat diberikan," katanya di sidang media selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) Seelong di sini, hari ini.

Terdahulu Ayob Khan turut meninjau lima lokasi pusat beli belah dan pasar awam sekitar bandar raya ini bagi memantau prosedur standard operasi (SOP) di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay membuat pemantauan sekatan jalan raya (SJR) di Seelong, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay membuat pemantauan sekatan jalan raya (SJR) di Seelong, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Beliau turut melahirkan kekecewaan berikutan orang ramai dikesan gagal mematuhi SOP terutama di beberapa pusat beli belah dan pasat awam yang ditinjau.

"Saya mengarahkan kompaun dikeluarkan kepada masing-masing sebuah pusat beli belah di Tampoi dan sebuah pasar awam di Pandan, berikutan gagal mematuhi SOP ditetapkan.

"Ada lokasi ditinjau penjarakan sosial langsung tidak ada, sehingga saya minta kompaun dikeluarkan terhadap sebuah pusat beli belah dan pasar awam.

"Di pintu masuk lokasi berkenaan, tidak dipantau jumlah pengunjung yang masuk sehingga keadaan menjadi sesak akibat terlalu ramai orang dan penjarakan sosial tidak dapat dibuat.

"Ramai pengunjung dilihat membawa anak-anak di bawah 12 tahun termasuk bayi berusia setahun hingga dua tahun sekali gus mendedahkan mereka pada bahaya penularan wabak," katanya.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, cuti pegawai dan anggota polis di daerah Johor Bahru dibekukan pada Aidilfitri kali ini.

"Sebanyak 1,212 pegawai dan anggota dikerahkan bertugas pada Aidilfitri ini.

"Seramai 840 anggota ditugaskan menjaga SJR, 269 anggota lagi untuk pasukan pemantauan manakala 171 membabitkan pasukan peninjau kenderaan pelbagai guna (MPV)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 3:20 PM