TINJAUAN orang ramai membeli-belah menjelang Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
TINJAUAN orang ramai membeli-belah menjelang Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: "Saya terkejut melihat orang ramai sudah beratur seawal 10 pagi untuk ke pusat beli-belah walaupun premis berkenaan belum dibuka," kata Sharifah Mahmud.

Sharifah, 46 yang juga suri rumah berkata, dia bersama suaminya tiba di sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, pada 9.30 pagi untuk membeli keperluan hari raya.

Menurutnya, mereka memilih untuk membeli-belah pada waktu pagi bagi mengelak berlaku kesesakan.

"Namun apabila tiba pada 9.30 pagi, saya lihat sudah ada orang beratur untuk memasuki pusat beli-belah ini meskipun ia belum dibuka.

"Saya dimaklumkan orang semakin ramai menjelang petang dan malam. Disebabkan itu, saya memilih untuk membeli-belah pada waktu pagi, namun keadaan agak sesak terutama menjelang tengah hari," katanya ketika ditemui, hari ini.

Seorang lagi pengunjung di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Zulkifli Abdullah, 34, berkata, kehadiran orang ramai menyebabkan dia lebih selesa menunggu isterinya di luar pusat beli-belah berkenaan.

"Saya lihat ramai orang di dalam pusat beli-belah itu sejak pagi tadi dan semakin jumlahnya semakin bertambah menjelang tengah hari.

"Berdasarkan pemerhatian saya, kebanyakan orang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka serta beratur sebelum memasuki premis.

"Malah, dapat dilihat anggota polis mahupun anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerap melakukan rondaan di sekitar kawasan ini (Jalan Tuanku Abdul Rahman)," katanya yang juga kakitangan awam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menambah jumlah anggota bagi melakukan pemantauan di lokasi berkenaan dua kali ganda berbanding hari biasa pada cuti umum, hujung minggu serta hari-hari akhir Ramadan.

"Lebih 300 anggota dikerahkan untuk melakukan pemantauan di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada cuti umum, hujung minggu serta hari-hari akhir Ramadan disebabkan jumlah pengunjung yang ramai pada waktu itu.

"Jumlah keanggotaan itu hanya membabitkan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan tidak termasuk anggota trafik serta anggota penguat kuasa DBKL yang turut ditugaskan untuk melakukan pemantauan di lokasi berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, hasil pemantauan dilakukan pihaknya, dianggarkan 30 hingga 70 kompaun dikeluarkan secara purata setiap hari di kawasan berkenaan atas kesalahan pelanggaran SOP.

Beliau berkata, antara kesalahan dikenakan kompaun di kawasan berkenaan adalah tidak mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera dan tidak memakai pelitup muka selain tiada penjarakan fizikal.

"Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi SOP ditetapkan memandangkan kita masih lagi di dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Selain itu, orang ramai disarankan supaya tidak membawa anak kecil ke kawasan sesak bagi mengelak risiko jangkitan kepada anak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 5:02 PM