Dua suspek yang sedang diburu polis berkaitan kejadian cubaan ragut di Batu 15 Jalan Klang-Banting semalam. (Gambar kanan) Rakaman video kejadian itu yang tular di media sosial. Foto Ihsan PDRM dan Pembaca
Dua suspek yang sedang diburu polis berkaitan kejadian cubaan ragut di Batu 15 Jalan Klang-Banting semalam. (Gambar kanan) Rakaman video kejadian itu yang tular di media sosial. Foto Ihsan PDRM dan Pembaca
Ruwaida Md Zain

Klang: Dua lelaki dipercayai terbabit kes cubaan ragut seorang jurujual wanita di Jalan Tengku Kelana di sini, yang tular di media sosial berjaya ditahan polis petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima laporan polis berkaitan video berkenaan.

"Siasatan mendapati, kejadian berlaku pada 9.40 pagi semalam ketika seorang jurujual wanita berusia 23 tahun sedang membersihkan kawasan belakang kedainya.

"Secara tiba-tiba, seorang lelaki menuju ke arah mangsa dan cuba meragut rantai emas dipakainya tetapi tidak berjaya.

"Suspek kemudian melarikan diri menaiki kereta Proton Wira bersama tiga lagi lelaki yang berada dalam kereta terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Amar berkata, bertindak atas maklumat itu, antara 2 petang hingga 5 petang tadi, dua dari empat suspek terbabit berjaya ditahan di Batu 15 Jalan Klang-Banting.

"Polis turut merampas kereta yang digunakan suspek dalam kejadian itu.

"Siasatan juga mendapati dua suspek yang ditahan masing-masing mempunyai 17 dan lapan rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah.

"Polis sedang memburu dua lagi suspek yang masih bebas dikenali dengan nama 'Paiyen' dan 'Kabilan' yang juga mempunyai pelbagai rekod jenayah," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan iaitu cubaan samun.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada Asisten Superintendan Zamrus Zakaria di talian 019-6892777 atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Sejak tengah hari ini, tular satu klip video berdurasi dua minit 50 saat yang menunjukkan seorang lelaki cuba meragut rantai leher milik seorang wanita di belakang sebuah bangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 10:46 PM