POLIS sedang memburu Suren dan Tarik Boy yang dipercayai terbabit dalam jenayah pecah hostel di Sentosa Utama, Off Jalan Sungai Jati tular di media sosial. FOTO ihsan Polis
POLIS sedang memburu Suren dan Tarik Boy yang dipercayai terbabit dalam jenayah pecah hostel di Sentosa Utama, Off Jalan Sungai Jati tular di media sosial. FOTO ihsan Polis
Norzamira Che Noh


Klang: Polis sedang memburu dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam jenayah memecah masuk hostel dan melarikan pelbagai barangan yang dianggarkan bernilai RM13,000 di Sentosa Utama, Off Jalan Sungai Jati, semalam.

Dua suspek iaitu K Surendran yang juga dikenali sebagai Suren, 26, beralamat di Taman Sentosa Utama dan R Narayanasamy, 36 atau 'Tarik Boy' beralamat Taman Kim Chuan, Pelabuhan Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal kejadian pecah masuk itu berlaku pada jam 5.28 pagi.

"Suspek berjaya melarikan beberapa barangan milik mangsa antaranya rantai leher, gelang tangan, cincin, wang tunai RM3,000 dan dompet mengandungi kad pengenalan, kad bank serta lesen memandu dengan nilai keseluruhan kerugian dianggarkan RM13,000.

"Bertindak hasil risikan, polis kemudian menahan seorang suspek berusia 34 tahun sekitar jam 11 malam tadi dan hasil siasatan mendapati suspek mengaku melakukan jenayah itu bersama dua lagi rakannya dikenali Suren dan Tarik Boy," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati dua suspek yang diburu masing-masing mempunyai 11 dan empat rekod lampau babit jenayah dan dadah.

Dalam pada itu, Shamsul Amar berkata suspek yang ditangkap kini direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Zamrus Zakaria di talian 019-6892777 atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan menerusi talian 03-33762222 atau balai polis berhampiran.

Terdahulu, satu video berdurasi 21 saat tular menerusi aplikasi media sosial yang menunjukkan dua lelaki dipercayai sedang melakukan jenayah pecah masuk hostel.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 5:04 PM