SEBUAH kediaman musnah dalam kebakaran di Kampung Jemari, Pengkalan Batu, semalam. FOTO ihsan Bomba
SEBUAH kediaman musnah dalam kebakaran di Kampung Jemari, Pengkalan Batu, semalam. FOTO ihsan Bomba
Mary Victoria Dass


Mersing: "Menyedari api sudah marak, saya segera bawa ibu dan bapa keluar dari rumah," kata Sakinah Md Amin, 21, mangsa kebakaran rumah di Kampung Jemari, Pengkalan Batu di sini, semalam yang menyebabkan empat beranak tinggal sehelai sepinggang.

Menurut Sakinah, kejadian berlaku ketika dia sedang berbuka puasa enam dengan ditemani ibu dan ayahnya kira-kira jam 7.15 malam.

"Saya terpaksa berbuka puasa dalam keadaan gelap kerana berlaku gangguan bekalan elektrik ketika itu, manakala abang ke kedai membeli lilin," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sakinah yang juga penuntut Universiti Islam Malaysia (UIA) berkata, menyedari api mula marak dari bilik abangnya, dia tanpa berfikir panjang terus membawa ibu dan bapanya yang berusia 65 dan 74 tahun itu keluar rumah ke tempat selamat.

"Struktur rumah separuh batu dan separuh papan menyebabkan api cepat marak hingga saya tidak dapat menyelamatkan apa-apa barangan.

"Keluarga kami terpaksa menanggung kerugian akibat kediaman dan trak pikap Toyota Hilux serta Perodua Kancil musnah dalam kejadian itu," katanya.

Sakinah berkata kini mereka tinggal di rumah seorang lagi abangnya di daerah ini dan belum memutuskan sama ada akan membina kediaman baru di tapak lama atau sebaliknya.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Johor berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kebakaran rumah pada 7.30 semalam.

Beliau berkata, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan Light Fire Rescue Tender (LFRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat Mersing dan Endau dengan kekuatan 16 anggota ke lokasi kejadian.

Menurutnya, operasi tamat pada jam 11.26 malam dan punca serta kerugian sebenar masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 2:55 PM