BANJIR kilat di Masjid Jamek susulan hujan lebat. FOTO Genes Gulitah
BANJIR kilat di Masjid Jamek susulan hujan lebat. FOTO Genes Gulitah
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seorang wanita berdepan detik cemas selepas kereta dipandunya terperangkap di dalam banjir kilat di Jalan Segambut Dalam, Kampung Masjid, di sini, sebelum diselamatkan bomba.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, setibanya pasukan Bomba dan Penyelamat Gombak Selatan di lokasi, pihaknya mendapati sebuah kereta terperangkap dalam arus banjir.

Menurutnya, mangsa wanita berada di dalam kereta berjaya dibawa keluar ke tempat selamat.

"Lokasi lain yang dinaiki air tidak membabitkan mangsa hanya kenderaan terkandas tidak boleh melalui kawasan terbabit.

"Bagaimanapun selepas hampir 30 minit anggota berada di lokasi, air surut sepenuhnya dan kenderaan ringan boleh melalui jalan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jurucakap itu berkata, pihaknya terima panggilan kecemasan pada jam 3:51 petang seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian.

"Tujuh balai terbabit bersama enam jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dengan kekuatan 42 anggota.

"Kawasan dan jalan yang terjejas ialah Jalan Segambut Dalam, Kampung Masjid; Jalan Sentul Pasar Dalam; Jalan Maarof, Bangsar; Lembah Pantai (Lebuhraya Sprint); Jalan Kuching; Persiaran Beruas, Bukit Damansara; Jalan Kasipillay dan Jalan Parlimen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 6:12 PM