KEBAKARAN bermula di bilik dalam banglo itu. FOTO Ihsan Bomba.
KEBAKARAN bermula di bilik dalam banglo itu. FOTO Ihsan Bomba.
Mohd Azam Shah Yaacob


LELAKI melecur seluruh badan selepas banglo didiami di Jalan Batai, Bukit Damansara, Kuala Lumpur terbakar pada 1.48 pagi, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGOKL) berkata, mangsa berusia 52 tahun melecur tahap pertama dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Katanya, sebelum itu PGOKL menerima panggilan kecemasan pada 1.49 pagi dan 27 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas, BBP Pantai dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, didapati sebuah banglo sedang terbakar dan pasukan mengambil masa 40 minit bagi mengawal api.

“Jentera digunakan Fire Rescue Tender (FRT), Light Fire Rescue Tender (LFRT), Ariel Ladder Platform (ALP) dan lori tangki,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, kebakaran berlaku di dua bilik di tingkat dua banglo itu yang berkeluasan hampir 70 meter persegi, menyebabkan seorang lelaki melecur seluruh badan.

“Kecederaan dikategori tahap pertama dan dia dihantar ke HKL untuk mendapatkan rawatan. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 12:34 PM