Kereta yang terbabas dan terbakar dalam kemalangan di Jalan Senai - Kulai hari ini. FOTO Ihsan JBPM Johor
Kereta yang terbabas dan terbakar dalam kemalangan di Jalan Senai - Kulai hari ini. FOTO Ihsan JBPM Johor
Ibrahim Isa


KEPANTASAN anggota bomba dan penyelamat berjaya menyelamatkan pemandu lelaki daripada rentung selepas Honda City dipandunya terbabas dan terbakar di Jalan Senai - Kulai, Johor Bahru hari ini.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Kulai, Abd Malik Abd Rahman berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 1.02 pagi, 14 anggota membabitkan sebuah jentera, sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT) dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, apabila tiba pihaknya mendapati bahagian depan Honda City itu tersangkut pada penghadang kiri jalan manakala bahagian belakang kereta tersangkut pada papan tanda jalan.

“Kami dapati api mula marak, sepasukan anggota berusaha menyelamatkan pemandu kereta dan pada masa sama sepasukan anggota lain berusaha memadamkan kebakaran.

“Alhamdulillah, kami berjaya menyelamatkan pemandu anggaran 20-an itu yang cedera akibat kemalangan itu dan diserahkan kepada pasukan perubatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, api marak dengan pantas menyebabkan 80 peratus kereta musnah dalam kebakaran itu namun pihaknya berjaya mengawal kebakaran dari merebak ke deretan rumah kedai di kawasan berhampiran.

Katanya, operasi ditamatkan pada jam 1.25 pagi tanpa kemalangan jiwa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 8:31 PM