Mohd Azam Shah Yaacob


KIRA-KIRA 10 keluarga kehilangan tempat tinggal selepas rumah setinggan didiami di Kampung Kovil Hilir, Sentul, Kuala Lumpur, terbakar, 2.50 petang hari ini.

Komander Operasi dari Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Mior Mohd Fikri Mohd Zaini berkata, empat jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), dua water tanker dan dua jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama 35 anggota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 2.53 petang.

Katanya, jentera pertama sampai 10 minit kemudian mendapati sebuah kawasan membabitkan penempatan rumah papan serta beratapkan zink sedang terbakar.

“Api di kawasan penempatan yang terbakar ini hanya dapat dikawal kira-kira satu jam kemudian.

“Usaha memadam kebakaran ini pada peringkat awal amat sukar berikutan keadaan rumah yang dibina daripada papan serta zink terletak dalam keadaan rapat antara satu sama lain.

“Malah, tekanan air di kawasan ini sangat rendah selain ketika kebakaran berlaku, angin bertiup agak kuat,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Beliau berkata, buat masa ini punca kebakaran masih belum dikenal pasti dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu P Prabakaran berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mendapatkan rumah kepada mangsa terbabit kebakaran.

Katanya, buat masa ini pihaknya akan menempatkan mangsa di Dewa Komuniti Sentul Perdana.

“Selepas ini kita akan berbincang dengan DBKL bagi melihat kekosongan di unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan sekitar ini bagi membolehkan mangsa tinggal di sana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 6:01 PM