KEADAAN rumah berkenaan. FOTO Ihsan Bomba.
KEADAAN rumah berkenaan. FOTO Ihsan Bomba.
Nurul Amanina Suhaini


KANAK-KANAK lelaki maut, manakala 17 yang lain selamat dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Bukit Pasir, Kampung Bukit Pasir, Endau, di Mersing, malam tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Alias Hussin, berkata mangsa, Mohammad Faris Sohari, 4.

Katanya, Pusat Gerakan Operasi Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kebakaran rumah melalui talian MER999, jam 9.19 malam tadi.

“Sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), sebuah jentera pemadam (FRT), sebuah Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah utiliti Hilux dari BBP Endau dan dibantu BBP Mersing dengan kekuatan seramai 21 anggota dihantar ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati berlaku kebakaran sebuah rumah jenis separuh kekal yang terbakar 70 peratus.

“Rumah jenis dua tingkat dan kebakaran berlaku di tingkat atas. Terdapat satu mangsa rentung dan 17 mangsa berusia setahun hingga 65 tahun berjaya menyelamatkan diri sebelum bomba tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa rentung dijumpai bomba pada jam 11.07 malam di bahagian tangga tingkat bawah dan dikeluarkan bomba sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya jam 1.09 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, ketika dihubungi mengesahkan mengenai insiden itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 8:55 AM