VAKSIN Pfizer. FOTO fail AFP
VAKSIN Pfizer. FOTO fail AFP
Amirul Aiman Hamsuddin


Sabak Bernam: Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, memaklumkan Selangor sudah memperuntukkan lebih RM200 juta untuk tujuan pembelian vaksin Covid-19.

Katanya, proses pembelian itu sedang berlangsung dan dijangka akan dimuktamadkan pada minggu hadapan.

Menurutnya, pihaknya menganggarkan lebih sejuta individu di negeri ini akan dibantu bagi mendapatkan vaksin Covid-19.

"Saya percaya, perbincangan pembelian vaksin di peringkat akhir. Minggu hadapan, kita sudah boleh mengesahkan proses berkenaan," katanya, hari ini.

Beliau ditemui pada sidang media selepas Program Agihan Bakul Makanan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Prihatin di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima, di sini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabak Ahmad Mustain Othman, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias, Pegawai Daerah Sabak Bernam Amri Ismail dan Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) Azman Dahlan.

Sehubungan itu, Amirudin berkata, program vaksinasi itu akan digerakkan menerusi Selgate Corporation dan Selangor Health Care (SelCare).

"Tumpuan (pemberian vaksin) itu juga nanti akan terarah kepada fasa kedua iaitu membabitkan golongan warga emas dan golongan berisiko tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 9:24 PM