Amirudin (tengah) ketika ditemui media selepas meninjau penerima vaksin AstraZeneca di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Amirudin (tengah) ketika ditemui media selepas meninjau penerima vaksin AstraZeneca di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Amirul Aiman Hamsuddin


Sabak Bernam: Seramai 70 petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang tinggal di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima, di sini, dibawa menaiki bas khas untuk ke tempat kerja masing-masing.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kebanyakan petugas barisan hadapan terbabit bekerja di hospital dan klinik kesihatan sekitar daerah Sabak Bernam.

Katanya, sebuah bas akan membawa petugas KKM ke satu lokasi yang ditetapkan.

"Kita siapkan sebuah bas khas yang mengangkut mereka (petugas KKM) keluar dan masuk.

"Pada masa sama juga, kita memastikan kakitangan hospital mencukupi supaya memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik," katanya, hari ini.

Beliau ditemui pada sidang media selepas Program Agihan Bakul Makanan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Prihatin di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima, di sini.

Amirudin berkata, petugas klinik kesihatan dan hospital juga bekerja mengikut giliran bagi memastikan jadual perjalanan bas lebih seimbang.

"Kita terpaksa kekalkan mereka di kawasan PKPD kerana tiada asrama penempatan. Semua ini dilakukan untuk memastikan kawalan pergerakan dapat dilakukan.

"Malah, ada sebahagian petugas KKM juga bekerja di pusat saringan di kawasan PKPD selain anggota keselamatan yang mendiami taman perumahan itu.

"Sekiranya penduduk terdiri dalam kalangan anggota polis, mereka juga menjaga laluan sekatan jalan raya (SJR) di kawasan PKPD ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 9:55 PM