GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Asrol Awang

Kuantan: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang bimbang dengan peningkatan kes harian Covid-19 di negeri itu, khususnya di daerah Kuantan.

Pengarahnya, Datuk Dr Bahari Che Awang Ngah berkata, sehingga semalam, sebanyak 8,649 kes direkodkan di Pahang termasuk 1,002 kes di Kuantan.

Katanya, berlaku peningkatan kes secara konsisten di daerah itu bermula pada pertengahan Mac lalu sehingga sekarang.

"Pada awal Mac lalu, kurang daripada 10 kes sehari dilaporkan, namun meningkat kepada purata 80 hingga 100 kes sehari bermula 14 Mei lalu.

"Kebanyakan kes berpunca daripada kluster aktif sedia ada di daerah Kuantan serta kontak rapat kes yang turut menunjukkan peningkatan kes bergejala hampir sekali ganda berbanding sebelum ini.

"Kes bergejala ini berpotensi untuk menjangkiti lebih ramai orang disebabkan kadar keberjangkitan tinggi terutama jika kes lambat dikesan dan dikuarantin," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, hampir semua lokaliti di daerah Kuantan mempunyai kes aktif menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Kuantan bermula 24 Mei hingga 7 Jun bagi membendung penularan wabak itu.

Katanya, jumlah pesakit di hospital meningkat lima kali ganda dalam tempoh sebulan hingga pihaknya terpaksa menambah prasarana dan melakukan mobilisasi kakitangan.

"Jika keadaan berterusan, dibimbangi kakitangan kesihatan sedia ada tidak cukup untuk memberikan perkhidmatan kepada pesakit.

"Namun, saya yakin pelaksanaan PKPD di Kuantan akan berjaya mengurangkan kes jika semua masyarakat mematuhi arahan kawalan pergerakan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 5:37 PM