GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Asrol Awang

Kuantan: Kerajaan negeri bercadang mengenakan peraturan lebih ketat termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti di Mukim Gali dan Tras, Raub jika peningkatan kes wabak Covid-19 gagal dikawal.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah itu perlu dilaksanakan berikutan peningkatan kes sepanjang tempoh dua minggu kebelakangan ini.

Katanya, sebanyak 354 kes aktif dengan kebolehjangkitan direkodkan sehingga semalam, dengan empat daerah diletakkan di bawah kategori zon merah iaitu Bentong, Kuantan, Temerloh dan Raub.

"Saya sangat bimbang dengan 'trend' peningkatan di daerah Kuantan yang tidak menunjukkan sebarang penurunan.

"Sehingga jam 12 tengah hari, hari ini, jumlah kumulatif kes positif di daerah Kuantan ialah 1,470 kes dengan 143 kes aktif daripada sembilan kluster.

"Jumlah sampel yang belum menerima keputusan ialah 647 sampel dan 1,942 orang dikenakan perintah kuarantin di rumah," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Wan Rosdy berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Tanah Putih Baru, di sini.

"Bagi penduduk daerah Kuantan, saya meminta semua mengawal penularan jangkitan wabak pandemik itu dengan mematuhi arahan.

"Mereka juga perlu mengehadkan aktiviti dan majlis rasmi berbentuk perhimpunan membabitkan orang ramai.

"Selain itu mengehadkan pergerakan rentas masuk dan keluar daerah serta mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 8:46 PM