PENDUDUK serta ahli NGO bergotong-royong membersihkan lumpur pasca banjir di Masjid Lama Kampung Pantai, Seberang Chenor, 16 Jan lalu. FOTO Farizul Hafiz Awang
PENDUDUK serta ahli NGO bergotong-royong membersihkan lumpur pasca banjir di Masjid Lama Kampung Pantai, Seberang Chenor, 16 Jan lalu. FOTO Farizul Hafiz Awang
Asrol Awang

Kuantan: Penghantaran bantuan bencana kemanusiaan dari luar Pahang perlu mendapat kelulusan menerusi sistem ebanjir.gov.my dan kebenaran rentas negeri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pusat penghantaran bantuan yang ditetapkan ialah di Bentong, Rompin dan Kuantan.

Katanya, pengagihan bantuan akan dilaksanakan oleh Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) negeri dan daerah.

"Kerajaan negeri membenarkan pergerakan rentas daerah bagi badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan Pahang bagi kerja gotong-royong pasca banjir di daerah yang memerlukan sahaja.

"Jumlah sukarelawan dibenarkan seramai 10 hingga 15 orang sahaja bagi satu NGO atau agensi.

"Permohonan perlu dibuat melalui ebanjir.gov.my dan kebenaran rentas daerah daripada PDRM," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, bagi operasi perniagaan di kompleks membeli-belah dan premis perniagaan, beliau berkata, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) diwajibkan dalam usaha menyekat penularan wabak Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 11:43 AM