GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Keningau, Sabah bermula esok sehingga 18 April ini selepas wujud beberapa kluster baharu.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKP di Keningau yang sepatutnya dijadualkan tamat hari ini dilanjutkan berikutan masih berlaku peningkatan kes dalam komuniti dengan jumlah kes aktif dalam tempoh 14 hari adalah sebanyak 148 kes.

"Sehingga kini, secara kumulatif sebanyak 2,138 kes Covid-19 direkodkan dalam daerah ini dengan beberapa kampung dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju melaksanakan PKPD di tiga lokaliti di Sabah selepas berlaku kebolehjangkitan tinggi dalam komuniti bermula esok sehingga 18 April ini.

"PKPD pertama di tiga kolej kediaman di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, Sabah.

"Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melaporkan situasi kes Covid-19 di tiga kolej kediaman universiti berkenaan iaitu Tun Mustapha, Tun Fuad dan Tun Pengiran Ahmad Raffae.

"Sehingga kini, KKM melaksanakan 133 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 19 kes positif Covid-19 direkodkan di lokaliti ini," katanya.

Menurutnya, KKM mengesahkan berlaku penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan penghuni di ketiga-tiga kolej kediaman itu dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk memastikan pergerakan penghuni dapat dikawal bagi mengelakkan penularan Covid-19 ke komuniti luar kolej kediaman.

"Selain itu, hasil penilaian risiko KKM juga menyebabkan kerajaan melaksanakan PKPD di Kampung Pagalungan Ansip, Keningau, Sabah.

"Sehingga kini, KKM melaksanakan 146 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 15 kes positif Covid-19 direkodkan di lokaliti ini," katanya.

Katanya, bagi memudahkan tindakan kawalan Covid-19 dijalankan dengan cepat dan berkesan seterusnya menghalang penularan dalam komuniti, kerajaan juga bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Kalindukan, Nabawan, Sabah.

"Sehingga kini, KKM melaksanakan 99 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak lapan kes positif Covid-19 direkodkan," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan PKPD di Taman Guru, Kuantan, Pahang, esok yang sepatutnya dijadualkan tamat pada 9 April ini.

"Sehingga kini, KKM melaksanakan 481 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 89 kes direkodkan.

"KKM mengesahkan baki kes aktif di lokaliti ini adalah terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 6:59 PM