BARISAN pemain Sri Pahang kini menjalani latihan secara individu. FOTO FB Sri Pahang FC
BARISAN pemain Sri Pahang kini menjalani latihan secara individu. FOTO FB Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC akan menjalani latihan berpusat melalui gelembung sukan sebaik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah itu berakhir 7 Jun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, setakat ini, latihan berpusat yang dipilih ialah di Kuantan.

"Sebelum ini, Sri Pahang menjalani latihan berpusat di Temerloh sebelum saingan Liga Super bermula dan kini memilih Kuantan.

"Latihan ini diyakini membantu untuk memastikan keselamatan pegawai dan pemain daripada penularan wabak Covid-19.

"Bagaimanapun, latihan ini akan bergantung kepada kebenaranm Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau selepas PKPD Kuantan tamat pada 7 Jun depan.

"Saya harap sebaik kembali bersama pasukan, semua pemain berada pada prestasi terbaik untuk mempamerkan aksi lebih mantap apabila Liga Super bersambung Julai depan," katanya.

Mengulas tempoh rehat dua bulan liga, Mohammed Suffian berkata,semua pemain sudah mula menjalani latihan secara individu yang dipantau barisan kejurulatihan.

Katanya, sesi latihan individu itu berikutan pelaksanaan PKPD di Kuantan yang berkuatkuasa hari ini.

"Saya harap sepanjang tempoh PKPD, semua pemain dapat mengikuti arahan yang diberikan ketua jurulatih (Dollah Salleh).

"Fokus utama pemain ialah meningkatkan prestasi masing-masing terutama kecergasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 8:25 PM