PUSAT Pemberian Vaksin (PPV) AstraZeneca (AZ). FOTO Badri Saali
PUSAT Pemberian Vaksin (PPV) AstraZeneca (AZ). FOTO Badri Saali
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Luar Bandar (KLB) berjaya mendaftarkan seramai 2,481 penerima vaksin sejak awal Mei lalu.

Menterinya, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, kementeriannya turut mengaktifkan 191 Pusat Komuniti Desa (PKD) di seluruh negara sebagai Pusat Daftar Vaksin (PDV) Luar Bandar bermula 20 Mei lalu dan menyasar peningkatan 20 hingga 30 peratus jumlah pendaftaran sedia ada bagi mempercepatkan proses imunisasi Covid-19 kepada masyarakat luar bandar.

Menurut beliau, 52 PKD yang dalam proses pemasangan perkhidmatan internet, pendaftaran luar talian akan dilaksanakan menggunakan aplikasi khas dibangunkan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Katanya, bagi melancarkan urusan pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Pengurus PKD akan menjadi barisan hadapan KPLB membantu melancarkan pendaftaran secara dalam talian.

"Peranan Pengurus PKD juga akan dipertingkat dan diperluaskan bagi memberikan penerangan dan mempromosikan kebaikan pengambilan vaksin kepada masyarakat luar bandar," katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Abdul Latiff berkata, pengalaman dan kelebihan pengurus PKD di luar bandar ini bagi membantu mengendalikan proses pendaftaran secara teratur, tepat dan cepat serta meningkatkan jumlah pendaftar penerima vaksin di seluruh negara.

Katanya, KPLB akan turut membantu agensi kerajaan lain dalam meningkatkan promosi dan publisiti bagi menerangkan keperluan pengambilan vaksin kepada masyarakat luar bandar.

"Usaha ini akan diadakan menerusi agensi-agensi bawah KPLB seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), RISDA, FELCRA BERHAD, MARA dan lain-lain.

"Kerjasama merentasi agensi ini amat diperlukan ketika negara berhadapan kes peningkatan positif Covid-19 membimbangkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 7:21 PM