Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Klang: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengaktifkan 191 Pusat Daftar Vaksin di Pusat Komuniti Desa (PKD) di seluruh negara mulai semalam bagi memastikan masyarakat di luar bandar tidak ketinggalan mendaftar sebagai penerima vaksin.

Dengan kemudahan serba lengkap itu, KPLB menyasar kira-kira 20 hingga 30 peratus penduduk di luar bandar mendaftar vaksin di pusat berkenaan.

Menerusi pusat daftar yang diaktifkan itu juga, penduduk luar bandar yang mempunyai masalah jaringan internet boleh ke PKD bagi mendaftar sebagai penerima vaksin.

Tinjauan Harian Metro mendapati, selain dijadikan sebagai pusat daftar vaksin, PKD turut menyediakan kemudahan internet untuk pelajar di luar bandar yang tidak mempunyai akses internet untuk menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di PKD.


Pengurus PKD Bukit Kapar Siti Zubaidah Mohd Hassan berkata, setakat ini seramai 15 penduduk setempat sudah mendaftar sebagai penerima vaksin sejak ia diaktifkan.

"Di pusat ini kami akan membantu masyarakat yang tidak mahir menggunakan aplikasi MySejahtera untuk mendaftar sebagai penerima vaksin.

"Selain itu, penerangan berkenaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) dan berkenaan Covid-19 turut diberikan kepada penduduk setempat," katanya.

Bagi penduduk Kampung Bukit Kapar, Nor Afizah Mohd Jailani, 41, berkata, pusat komuniti berkenaan memudahkan penduduk kampung mendaftar sebagai penerima vaksin.

SITI Zubaidah membantu penduduk menggunakan aplikasi MySejahtera bagi memudahkan urusan pendaftaran.
SITI Zubaidah membantu penduduk menggunakan aplikasi MySejahtera bagi memudahkan urusan pendaftaran.

"Ramai penduduk yang berusia dan berisiko di kawasan kampung ini dengan adanya kemudahan seperti ini secara tidak langsung dapat memudahkan pendaftaran sebagai penerima vaksin.

"Jaringan internet di kawasan kampung juga tidak begitu memuaskan, kini penduduk tidak perlu merisiko diri mencari jaringan internet di kawasan lain kerana boleh mendaftar di PKD," katanya.

Untuk rekod, sebanyak 139 PKD mempunyai perkhidmatan internet manakala 52 lagi dalam proses pemasangan perkhidmatan internet.

Menerusi inisiatif ini juga, KPLB juga sudah berjaya mendaftarkan seramai 2,068 sejak ia diaktifkan.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 7:01 AM