Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (kanan) mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Mara Liner Sdn Bhd, Zachary Ismail Zee Ismail (kiri) ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak Mara Liner yang akan digunakan untuk pemberian vaksin kepada komuniti Orang Asli di bawah agensi KPLB - JAKOA. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (kanan) mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Mara Liner Sdn Bhd, Zachary Ismail Zee Ismail (kiri) ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak Mara Liner yang akan digunakan untuk pemberian vaksin kepada komuniti Orang Asli di bawah agensi KPLB - JAKOA. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Lebih 206,000 komuniti Orang Asli di seluruh Semenanjung bakal menerima kemudahan mendapatkan vaksin apabila Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak menggunakan bas MARA Liner.

Menterinya, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, bagi fasa pertama sebanyak 17 bas akan mula beroperasi bergerak ke kawasan utama perkampungan Orang Asli dengan lokasi pertama di Sungai Siput, Perak

Katanya, inisiatif KPLB ini sebagai usaha memastikan komuniti masyarakat di pedalaman atau luar bandar mendapat akses kepada pendaftaran dan suntikan vaksin.

"Kami difahamkan terdapat kira-kira 300,000 komuniti Orang Asli di seluruh Semenanjung Malaysia, manakala 60,000 daripadanya sudah mendaftar dengan MySejahtera.

"Oleh itu, KPLB melihat bas MARA Liner ini adalah platform terbaik untuk dijadikan PPV Bergerak, terutama membantu mencapai hasrat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang Disember 2021.

"Bas ini sudah diubah suai untuk kemudahan membantu KKM memberi vaksin kepada komuniti luar bandar dan bas ini boleh beroperasi selama 10 jam sehari dan memberi perkhidmatan kepada 400 orang penerima vaksin (sehari)," katanya kepada media ketika melawat PPV Bergerak MARA Liner di sini, hari ini.

MARA Liner mempunyai 343 bas bagi kegunaan bas ekspres dan bas henti-henti.

Abdul Latiff berkata, bagi fasa pertama PPV Bergerak MARA Liner ini akan menyantuni komuniti Orang Asli di bawah agensi KPLB Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) manakala fasa kedua pula, komuniti Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Lembaga Wilayah Kemajuan Kedah (Keda) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).

Menurutnya, PPV Bergerak MARA Liner ini juga meliputi kaunter pengesahan, pendaftaran, konsultasi, pemerhatian, rawatan dan sembilan kaunter pemberian vaksin.

"KPLB akan memberi komitmen sepenuhnya untuk membantu usaha mencapai imuniti kelompok dan kita juga akan menggunapakai pelbagai kaedah termasuk PPV Bergerak ini.

"Bagi komuniti Orang Asli pula pendekatan kita gunakan adalah dengan berbincang bersama ketua kampung atau tok batin di setiap perkampungan di mana terdapat seramai 624 tok batin setakat ini," katanya.

Sementara itu, Abdul Latiff berkata, KPLB juga menjalin kerjasama dengan UNIKLINIK yang berpengalaman menguruskan pemberian vaksin di PPV PWTC sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 2:06 PM