Foto hiasan
Foto hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menumpukan pemeriksaan di sektor perindustrian di seluruh negara bagi memastikan pihak berkaitan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, masih terdapat sektor perindustrian yang tidak dibenarkan operasi dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 meneruskan aktiviti mereka seperti biasa.

"Setakat ini, kita menerima maklumat ada antara kilang-kilang yang tidak tersenarai dalam sektor dibenarkan beroperasi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih meneruskan operasi mereka.

"Selain itu, tumpuan juga turut merangkumi pemeriksaan terhadap sektor perkilangan yang diberi kebenaran namun tidak mematuhi SOP ditetapkan dalam memutuskan rantaian Covid-19," katanya selepas meninjau penugasan di sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Jalan Duta di sini, hari ini.

Acryl Sani berkata, selain tumpuan diberikan terhadap sektor perindustrian, pasukan pematuhan SOP PDRM juga akan meningkatkan kawalan di tempat awam bagi mengesan mereka yang keluar tanpa tujuan.

"Menerusi SOP PKP 3.0 ini, mana-mana individu yang tidak mempunyai sebarang urusan penting disarankan untuk duduk di rumah, namun ada segelintir pihak yang masih melanggar syarat ditetapkan.

"Apabila ditanya oleh pihak polis, mereka memberikan alasan keluar untuk membeli barang, itu antara alasan yang kerap diberikan apabila ditanya kepada mereka walaupun keluar tanpa tujuan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 11:14 PM