Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pengunjung pasar raya dan pusat beli-belah di ibu negara dilihat patuh prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diperketatkan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, tinjauan hari pertama penguatkuasaan PKP 3.0 di sebuah pusat pemborong di Jalan Gelugor, di sini, memberi penekanan kepada pengunjung atau pelanggan dibenarkan supaya hanya berada di dalam premis maksimum dua jam.

"Hasil tinjauan dilakukan di pusat pemborong ini mendapati rata-rata pengunjung menyedari arahan berkaitan had masa membeli-belah berkenaan.

"Semasa pemeriksaan dilakukan, kebanyakan pengunjung yang diperiksa menunjukkan bukti di aplikasi MySejahtera bahawa berada kurang dari dua jam dan mereka dinasihatkan supaya berada di dalam premis tidak lebih dua jam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan pemeriksaan di pusat pemborong berkenaan, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, pemilik premis juga diingatkan supaya memberi nasihat kepada pengunjung supaya mematuhi SOP ditetapkan.

"Pemeriksaan dilakukan juga mendapati semua pasar raya serta pusat beli belah di daerah Dang Wangi menunjukkan pengurangan kehadiran pengunjung sekitar 30 hingga 40 peratus sejak PKP 3.0 dikuatkuasakan baru-baru ini.

"Pengurangan itu menunjukkan bahawa ada kesedaran dalam kalangan orang ramai yang mematuhi saranan kerajaan untuk tidak keluar rumah dan ini adalah satu perkara baik dalam usaha untuk melandaikan lekuk Covid-19," katanya.

"Pemeriksaan di semua pasar raya serta pusat beli belah sekitar Daerah Dang Wangi turut diperketatkan. Pemantauan ini perlu dilakukan secara konsisten sebagai usaha untuk memerangi wabak pandemik Covid-19 di negara ini," katanya.

Ahad lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwah Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan tempoh masa pelanggan di dalam semua premis peruncitan termasuk pusat membeli-belah dihadkan kepada maksimum dua jam sahaja.

Dari segi had kapasiti pekerja bagi semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran serta kompleks membeli-belah termasuk pengurusan, operasi dan sokongan ditetapkan sebanyak 60 peratus.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 5:04 PM
    Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, (tengah) membuat pemantauan di sebuah pusat beli belah di sini. FOTO AZHAR RAMLI
    Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, (tengah) membuat pemantauan di sebuah pusat beli belah di sini. FOTO AZHAR RAMLI