ANGGOTA polis melakukan pemantauan di SJR. FOTO Ihsan Polis.
ANGGOTA polis melakukan pemantauan di SJR. FOTO Ihsan Polis.
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Polis mengenal pasti beberapa laluan tikus di daerah ini yang digunakan penduduk setempat untuk melakukan pergerakan rentas daerah.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, laluan yang dikenal pasti adalah Jalan Bukit Kor, Jalan Tertak Batu dan Jalan Pengkalan Berangan selain beberapa laluan kampung yang lain.

"Biasanya mereka melakukan perjalanan rentas daerah menggunakan laluan kampung tetapi setakat ini kita tidak mengesan lagi mana-mana individu yang cuba melakukan perjalanan rentas daerah.

"Walaupun tiada laporan diterima berkaitan cubaan rentas daerah, kita akan memantau beberapa laluan yang mungkin digunakan penduduk untuk melakukan pergerakan rentas daerah.

"Ketika ini, kita melakukan empat sekatan jalan raya (SJR) di sempadan daerah dengan kekuatan 56 orang termasuk daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Mohd Zain, pematuhan penduduk dalam keadaan memuaskan apabila tiada sebaran kompaun dikeluarkan berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 12 Mei lalu.

Katanya, pihaknya akan memperketatkan kawalan dan rondaan bagi memastikan penduduk di daerah ini terus mematuhi SOP ditetapkan selepas kerajaan memperketatkan lagi PKP 3.0 yang bermula hari ini (25 Mei).

"Pemantauan bukan sahaja di SJR tetapi di kawasan pasar raya, pasar dan tempat tumpuan awam dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 4:24 PM