GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Johor Bahru: Bakal jemaah Malaysia yang dipilih menunaikan ibadah haji tahun ini melahirkan kesyukuran selepas menerima dos pertama vaksin Covid-19 sekali gus berasa lebih yakin dan selamat untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu.

Seorang kerani syarikat swasta Mohamad Ardani Senawi, 58, berkata, beliau dan isterinya yang menunggu seawal 7 pagi untuk menerima vaksin itu berasa sangat lega selepas menerima suntikan dos pertama serta berharap dapat menunaikan ibadah haji dengan lancar.

"Sebelum ini, saya dan isteri sangat risau memikirkan virus berkenaan, pada masa sama sangat teringin menunaikan ibadah haji.

"Kini rasa yakin dan selamat itu lebih tinggi memandangkan suntikan vaksin ini membantu meningkatkan imuniti terhadap wabak tersebut.

"Setakat ini, tiada lagi simptom seperti yang diuar-uarkan di media sosial dan aplikasi WhatsApp, usai disuntik perasaan takut pun sudah hilang," katanya kepada pemberita di Pusat Pemberian Vaksin di Dewan Muafakat Taman Adda Height, di sini, hari ini.

Rukiah Tukimon, 58, yang juga suri rumah pula berkata, masyarakat terutama bakal jemaah haji perlu membuang rasa takut untuk mendapatkan vaksin kerana ia antara ikhtiar perubatan bagi memerangi pandemik Covid-19 selain demi menjaga kesihatan dan keselamatan diri.

"Syukur sebab saya salah seorang jemaah haji yang terpilih, sejak tahun lalu saya menunggu peluang ini dan sangat berharap untuk pergi ke sana.

"Apabila sudah divaksin, saya rasa lega dan amat bersyukur sebab bukan semua orang dapat vaksin dalam masa terdekat dan saya sedar ramai lagi yang masih menunggu giliran.

"Jujur tiada perasaan takut sebab saya sudah bersedia dari tahun lepas. Saya selalu berdoa agar menjadi insan yang terawal menerima vaksin ini.

"Jadi, kita sebagai umat Islam, kita tidak perlu takut dan berserah kepada Allah, ini adalah antara ikhtiar kita," katanya.

Bagi Salbiah Mustapha, 51, perasaan takut dan gelisah untuk menerima suntikan vaksin hilang selepas menerima dos pertama dan beliau akan menggalakkan rakannya yang lain untuk menerima suntikan itu terutama mereka yang bakal mengerjakan haji.

Untuk rekod, kira-kira 600 bakal jemaah di Johor menerima suntikan vaksin Covid-19 bermula hari ini.

Pada 3 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dilaporkan berkata, jemaah Malaysia yang dipilih mengerjakan ibadah haji tahun ini akan diberikan vaksin Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca seperti diiktiraf kerajaan Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 6:32 PM