FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Riyadh: Hanya individu yang menerima suntikan imunisasi Covid-19 dibenarkan ke Arab Saudi bagi menunaikan umrah pada Ramadan ini.

Kementerian Haji dan Umrah berkata, individu terbabit dipecahkan kepada tiga kategori penerima suntikan vaksin sebelum dibenarkan mengerjakan umrah.

"Tiga kategori itu adalah individu penerima dua dos vaksin Covid-19, menerima dos pertama sekurang-kurangnya 14 hari sebelum berangkat dan mereka yang pulih daripada jangkitan," kata kementerian itu dalam kenyataan, kelmarin.

Kementerian itu bagaimanapun tidak memperincikan tempoh ia dilaksanakan atau dilanjutkan sehingga musim haji pada tahun ini.

Sebelum ini, Arab Saudi membenarkan individu layak termasuk belum mendapat suntikan vaksin menunaikan umrah dan bersolat di Masjidil Haram.

Syarat baharu diperkenalkan itu mungkin turut dikuatkuasakan di Masjid Nabawi.

Dasar itu dijangka meningkatkan kapasiti operasi di Masjidil Haram sepanjang Ramadan tahun ini.

Pengumuman itu dibuat selepas Raja Salman melakukan perubahan Kabinet termasuk membabitkan portfolio Menteri Haji dan Umrah bulan lalu, kurang setahun kerajaan itu membenarkan sejumlah kecil jemaah menunaikan ibadat haji pada Julai tahun lalu.

Sekitar 10,000 penduduk Arab Saudi dibenarkan menunaikan haji pada 2019 berbanding 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia.

Arab Saudi juga setakat ini belum membuat keputusan jumlah sebenar jemaah dibenarkan menunaikan ibadah haji tahun ini.

Sementara itu Agensi Berita Arab Saudi melaporkan, Pengurusan Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi selesai melakukan semua persiapan untuk menerima jemaah umrah yang divaksin pada Ramadan nanti, dengan protokol kesihatan dan langkah pencegahan ketat.

Perkara itu selaras aplikasi Tawakkalna untuk kategori imunisasi.

Jurucakapnya, Hani Hosni Haider berkata, pihak pengurusan mewajibkan semua pekerja disuntik vaksin bagi memastikan keselamatan mereka dan semua pengunjung Masjidil Haram.

Beliau berkata kerja pensterilan dilakukan secara kerap di Dua Masjid Suci itu, dan dipergiat sempena kedatangan Ramadan.

Seramai 5,000 pekerja terbabit dalam operasi pensterilan dan pembasmian kuman di seluruh Masjidil Haram yang dilakukan sehingga 10 kali sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 6:01 AM