MASJIDIL HARAM. FOTO AFP
MASJIDIL HARAM. FOTO AFP
AFP

Makkah: Jemaah yang sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 memulakan ibadah umrah pada hari pertama Ramadan.

Mereka yang memakai pelitup muka memasuki Masjidil Haram secara berperingkat untuk melakukan tawaf dengan mematuhi penjarakan fizikal.

Hanya jemaah yang menerima suntikan vaksin dibenarkan memperoleh permit untuk menunaikan umrah dan bersolat di Masjidil Haram, menurut Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, sebelum ini.

Berdasarkan kementerian berkenaan, ada tiga kategori jemaah dibenarkan iaitu mereka yang sudah menerima dos vaksin, menerima satu dos sekurang-kurangnya 14 hari sebelum, dan sudah pulih daripada jangkitan Covid-19.

Dasar itu meningkatkan kapasiti dalam Masjidil Haram pada Ramadan kepada 50,000 jemaah umrah dan 100,000 orang sehari, menurut agensi media rasmi.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada polisi sama akan diteruskan untuk musim haji tahun ini.

Pada Julai tahun lalu, Arab Saudi membenarkan pelaksanaan haji dengan mengehadkan jumlah jemaah hanya 10,000 orang berbanding 2.5 juta pada 2019.

Setakat ini, negara itu merekodkan lebih 400,000 kes Covid-19 dengan 6,700 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 9:02 AM