Mohammad Medan Abdullah
Mohammad Medan Abdullah
Mohd Roji Kawi


Kuching: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) sekali lagi meraih pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi Anugerah Gangsa pada Asia Sustainability Reporting Awards (ASRA) yang Ke-6.

Pengumuman anugerah itu dibuat pada majlis eksklusif secara maya di Singapura, Rabu lalu, berikutan pandemik Covid-19 yang masih berlarutan.

BPHB meraih anugerah itu menerusi Laporan Tahunan Bersepadu 2019 BPHB dengan slogan Realisation of Greater Potential dalam kategori untuk Laporan Bersepadu Terbaik Asia (Kali Pertama) dengan Anugerah Emas kategori itu diraih First Philippine Holdings Corporation dari Filipina.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB Datuk Mohammad Medan Abdullah berkata, pihaknya bangga dengan pencapaian itu kerana ia adalah penyertaan pertama BPHB pada ASRA.

"Kami amat berbesar hati menerima pengiktirafan ASRA untuk julung kalinya kerana ia adalah anugerah antarabangsa berprestij untuk pelaporan korporat.

"Anugerah itu menuntut kami komited untuk terus membentuk nilai jangka panjang bagi pemegang kepentingan syarikat dan memastikan perjalanan kami dalam usaha bagi mencapai visi untuk menjadi operator pelabuhan yang bertaraf dunia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

BPHB adalah syarikat awam yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan syarikat subsidiari BPHB, Bintulu Port Sdn Bhd dan Samalaju Industrial Port Sdn Bhd terbabit dalam penyediaan perkhidmatan pelabuhan manakala Biport Bulkers Sdn Bhd mengkhusus dalam penyediaan perkhidmatan bulking seperti minyak kelapa sawit, minyak makan dan minyak sayuran.

Mohammad Medan berkata, BPHB juga tersenarai antara finalis untuk kategori Laporan Bersepadu Terbaik Asia (Reka Bentuk) yang dimenangi City Development Limited dari Singapura.

Sementara itu, Pengarah Urusan CSRWorks International yang juga pengasas ASRA, Rajesh Chhabara berkata, Laporan Tahunan Bersepadu BPHB menunjukkan kepimpinan luar biasa dalam melaporkan prestasi dengan telus.

Malah, katanya, BPHB juga menunjukkan prestasi kelestarian yang mencerminkan kesediaan untuk masa depan yang lebih berdaya tahan.

Antara syarikat dari Malaysia yang juga berjaya merangkul anugerah dalam kategori lain di ASRA Ke-6 adalah Salcon Berhad, Nets Printwork Sdn Bhd, Sunway Berhad dan Sunway Real Estate Investment Trust.

Sebanyak 494 penyertaan diterima dari 17 negara bagi 19 kategori anugerah yang dinilai oleh panel penghakiman bebas.

Selepas melalui penilaian di peringkat awal, 102 syarikat dari 14 negara berjaya ke peringkat akhir dengan 40 pemenang meraih 57 Anugerah Emas, Perak dan Gangsa dan Anugerah Unggul Laporan Tahunan.

ASRA memiliki proses penilaian ketat dalam pelbagai peringkat untuk menentukan finalis dan pemenang melalui panel penghakiman bebas.

Penilaian membabitkan tiga pusingan untuk memilih yang terbaik dalam setiap kategori anugerah.

Selain menilai kualiti laporan, pemeriksaan wajar secara menyeluruh turut mempertimbangkan reputasi syarikat terhadap pihak berkepentingan mereka yang juga diambil kira di dalam proses penilaian untuk menentukan pemenang.

Anugerah Gangsa ASRA itu adalah penghargaan kedua untuk Laporan Tahunan Bersepadu 2019 BPHB selepas menerima Anugerah Perak pada Anugerah Laporan Tahunan Antarabangsa (ARC Awards) Ke-34 yang diterima di New York, Amerika Syarikat pada September tahun lalu.

BPHB adalah pengendali pelabuhan pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan ARC Awards.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 6:20 PM