GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Seremban: Seorang pemilik kafe di Bahau, Jempol dikompaun RM10,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, pemilik kafe berusia 60 tahun itu didapati tidak menyediakan imbasan kod QR MySejahtera untuk daftar masuk (check-in) atau buku pendaftaran kehadiran pelanggan secara manual di premis berkenaan.

"Kafe itu juga tidak menyediakan peralatan saringan suhu dan hand sanitizer ketika pemeriksaan dilakukan pada 6.30 petang semalam. Kompaun dikeluarkan mengikut Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, 12 individu termasuk seorang warga Indonesia dikenakan kompaun antara RM1,500 hingga RM4,000 setiap seorang atas pelbagai kesalahan melanggar SOP ketika berkumpul menunaikan solat secara berjemaah di sebuah premis di Nilai.

Serbuan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di premis berkenaan pada 1.30 tengah hari semalam.

Jelasnya, kesemua 12 lelaki itu didapati tidak memakai pelitup muka serta gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk (check-in) di premis atau menulis secara manual dan kesemua mereka dikompaun di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 9:52 AM