Laporan Harian Metro sebelum ini.
Laporan Harian Metro sebelum ini.
Mohd Amin Jalil

Nilai: Selebriti popular, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa akan didakwa di Mahkamah Seremban esok atas satu pertuduhan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Suaminya pula, Muhammad Haris Mohd Ismail yang lebih dikenali sebagai PU Riz bakal berdepan dua pertuduhan esok.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, pertuduhan terhadap pasangan terbabit akan dijalankan selepas kertas siasatan kes perlanggaran SOP PKPB membabitkan kedua-duanya dikembalikan dari Pejabat Peguam Negara, Putrajaya hari ini.

Menurutnya, kedua-dua penama berkenaan akan dituduh mengikut Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

"Muhammad Haris akan dihadapkan atas dua pertuduhan iaitu yang pertama gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk 'check in' atau menulis secara manual dan tuduhan kedua iaitu tidak memakai pelitup muka di tempat awam sebagaimana ditetapkan dalam SOP PKPB.

"Neelofa pula dituduh ekoran gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk 'check in' atau menulis secara manual.

"Hukuman bagi setiap pertuduhan adalah denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, pihak polis menasihati orang ramai terus kekal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta SOP yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dalam memutuskan rantaian Covid-19.

Katanya, prinsip tiada individu yang mengatasi undang-undang adalah diutamakan dalam penguatkuasaan undang-undang.

Pada 4 Mei lalu, Neelofa dan PU Riz dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bagi memberi keterangan selama empat jam berkaitan penularan gambar dan video mereka berada di sebuah premis menjual permaidani di Pusat Perniagaan Nilai 3 pada 2 Mei lalu.

Turut diambil keterangan ialah pemilik premis serta pembantu kedai karpet berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 10:52 PM