NEELOFA dan suami mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas kesalahan melanggar SOP PKPB. FOTO BERNAMA
NEELOFA dan suami mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas kesalahan melanggar SOP PKPB. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Seremban: Sebutan semula kes usahawan dan selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPD) di sebuah kedai karpet di Nilai, awal bulan ini, ditangguhkan pada 23 Jun hadapan.

Peguam pasangan itu M. Haresh berkata, kes pengurusan kes itu sepatutnya disambung semula Jumaat ini tetapi ditangguhkan oleh mahkamah susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula esok hingga 14 Jun ini.

"Mahkamah Majistret Seremban menetapkan 23 Jun sebagai tarikh pengurusan kes seterusnya," katanya tadi.

Pada 20 Mei lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual karpet di pusat perniagaan Nilai 3 di sini, pada 2 Mei lalu.

Mereka berdepan dengan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Muhammad Haris, 26, didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual dan tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada jam 4 petang, 2 Mei lalu.

Noor Neelofa, 32, pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.

Mengenai perkembangan mengenai dakwaan Noor Neelofa mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban pada 20 Mei lalu, Haresh berkata perkara itu masih dalam siasatan polis.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 8:18 PM